Tag Archives: wanita

Perbezaan Lelaki dan Wanita. Apa yang kita tidak ketahui? -Bhg 2-

 

Sambungan Bahagian 1


Lina dan Kasim dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis. Mereka baru sahaja bertengkar kerana Lina menyuruh Kasim membelok ke kiri, padahal maksud Lina yang sebenar adalah membelok ke kanan. Kasim mengesyaki sesuatu yang tidak betul.

“Lina, mengapa? Ada masalahkah?” tanya Kasim.

“Tidak ada masalah!” jawab Lina.

Penekanan suara Lina pada perkataan ‘tidak ada’ membuktikan bahawa sebenarnya dia memang mempunyai masalah. Kasim cuba mengingati kembali apa yang berlaku di majlis tadi.

“Saya ada buat salahkah malam ini?” tanya Kasim lagi.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa” jawab Lina dengan kasar.

Itu bermakna Lina memang mahu berbincang perihal masalah yang berlaku. Kasim pula kehairanan dan cuba berfikir apa yang dia lakukan sehingga Lina begitu marah.

“Cakaplah,apa kesalahan yang saya sudah buat” katanya lagi. “Saya tidak tahu salah apa yang saya buat”

“Perempuan miang yang duduk sebelah awak sepanjang malam tadi!. Dia mengurat awak dan awak pula melayan dia!” bentak Lina.

Sekarang Kasim betul-betul keliru dan kehairanan. Perempuan miang yang mana?…..

Kebanyakan lelaki menganggap perempuan miang seperti itu adalah peramah. Lelaki adalah pemburu. Mereka dapat melihat buruan jauh di hujung pandangan dan dapat mengagak dengan betul kepantasan makhluk lain bergerak. Namun, mereka tidak mempunyai kemampuan mengesan isyarat visual, suara dan badan.

Oleh sebab itu, apabila lelaki mengatakan mereka tidak tahu menahu perihal perkara ini, besar kemungkinan mereka bercakap benar. Otak lelaki tidak mampu mendengar ataupun melihat hal-hal yang halus dan terperinci.

Berikut merupakan gambaran perbezaan otak lelaki dan wanita.

 

 otak lelaki

 

 otak wanita

 

Wanita Dan Sentuhan

Pada tahun 1999 sekumpulan pengkaji yang diketuai Michael Meaney dari Universiti McGill, Quebec, Kanada menunjukkan anak tikus yang sentiasa dibelai ibunya mempunyai otak yang lebih besar dan lebih cerdas berbanding anak tikus yang tidak dibelai.

Kajian bahasa badan menunjukkan wanita Barat menyentuh wanita lain dalam perbualan sosial, empat hingga enam kali lebih kerap berbanding lelaki. Manakala lelaki yang menghidap masalah jiwa menunjukkan mereka lebih suka bersendirian, tidak mahu menyentuh dan disentuh apabila tertekan. Sebaliknya hampir setengah daripada pesakit jiwa wanita mahu menerima sentuhan kemesraan terutama dalam perbualan.

Dalam institusi kekeluargaan sentuhan dan belaian amat penting dalam membentuk anak-anak supaya membesar dengan mental yang sihat dan cerdas.

Arah

Sekiranya lelaki mempersoalkan “Wanita tidak tahu sebelah mana yang kiri atau sebelah mana yang kanan”

Jawapannya adalah tidak!. Wanita mempunyai keupayaan untuk menggunakan kedua-dua belah tangan untuk membolehkan mereka melakukan kerja rumah dua kali lebih cepat berbanding lelaki. Hal ini adalah kerana otak mereka saling berhubung antara satu sama lain. Akibatnya, wanita tidak dapat membezakan antara kiri dan kanan kerana kemahiran itu tidak pernah dianggap penting.

Lelaki Bersifat Melindungi

Ketika lelaki berada di dalam restoran, mereka lebih gemar mengambil tempat duduk yang membelakangkan dinding supaya mereka mampu melihat ke arah pintu masuk restoran. Ini membuatkan mereka berasa selesa, selamat dan sentiasa berwaspada.

Sikap ini kekal walaupun tiada orang yang mengganggu mereka. Wanita pula tidak peduli sekiranya mereka duduk sambil membelakangkan kawasan lapang di restoran.

Menurut kajian dari barat, lelaki sukar melelapkan mata apabila tidur berjauhan dengan pintu. Oleh itu, mereka seringkali memilih untuk tidur di kedudukan katil yang berhampiran dengan pintu simbolik dengan sifat mereka yang sentiasa berjaga-jaga dengan kawasan sekitar.

Apa yang lebih menarik, lelaki amat peka pada bunyi yang berkait dengan pergerakan sehingga bunyi ranting patah  dapat mengejutkan mereka. Namun, lelaki dapat terus tidur nyenyak apabila mendengar bunyi tangisan bayi pada waktu malam.

Kepintaran

Kajian terbaru mendapati otak wanita bersaiz lebih kecil daripada otak lelaki. Namun saiz otak tidak mempengaruhi keupayaan mereka berfikir. Pada tahun 1997, pengkaji daripada Denmark bernama Bente Pakkenberg menunjukkan secara purata, lelaki mempunyai 4 bilion lebih banyak sel otak berbanding sel otak wanita.

Pada masa yang sama, kajian juga mendapati kepintaran am wanita adalah 3% lebih daripada kepintaran am lelaki. Pada tahun 1999, pengkaji sel otak bernama Profesor Ruben Gor daripada Pusat Perubatan Universiti Pennysylvania mendapati otak wanita mempunyai lebih banyak kawasan kelabu berbanding otak lelaki. Di kawasan kelabu inilah otak melakukan tugas pengiraan dan ini menjadikan wanita lebih baik daripada lelaki dalam berkomunikasi.

Perhubungan antara otak

Hemisfera otak kiri dan otak kanan dihubungkan oleh gumpalan saraf halus yang dipanggil corpus callosum. Penghubung ini membolehkan kedua-dua belah otak berkomunikasi dan bertukar maklumat.

Pakar neurologi bernama Roger Gorski dari Universiti California, Los Angeles mengesahkan otak wanita mempunyai korpus kalosum yang lebih tebal daripada lelaki. Otak kiri dan otak kanan mereka juga bersambung 30% lebih banyak berbanding lelaki. Beliau juga amembuktikan lelaki dan wanita menggunakan bahagian otak yang berlainan ketika melakukan perkara yang sama.

Hormon estrogen wanita juga memainkan peranan dalam merangsang sel-sel saraf supaya berhubung dengan lebih banyak di dalam otak dan di antara hemisfera. Pengamatan juga menunjukkan semakin banyak berhubung, semakin baik seseorang itu bertutur. Ini juga menerangkan mengapa wanita dapat melakukan banyak perkara yang tidak berkaitan dalam satu masa.

 

Bersambung…

 

Sumber: Why Men Don’t Listen and Women Can’t Read Maps -by Allan & Barbara Pease

 

Perbezaan Lelaki dan Wanita. Apa yang kita tidak ketahui? -Bhg1-

 

Majlis sudah bermula apabila Johan dan Su tiba. Su memandang tepat ke muka Johan dan bibirnya seakan-akan tidak bergerak apabila dia berkata,

“Cuba lihat pasangan di tepi tingkap itu,”

Johan memusing kepalanya bagi melihat pasangan yang dimaksudkan Su.

“Jangan lihat sekarang!”

Dia berbisik dengan garang. “Jangan buat mereka perasan”.

Su tidak faham mengapa Johan terpaksa memusingkan kepalanya dengan begitu ketara. Johan pula tidak percaya bahawa Su dapat melihat orang lain tanpa menggerakkan kepalanya.

Perbezaan Persepsi Antara Lelaki dan Perempuan

Wanita dapat merasai dengan cepat apabila orang lain berasa susah hati dan kecewa. Sebagai ibu dan penjaga rumah tangga, mereka memerlukan kebolehan yang dipanggil sebagai naluri untuk mengesan perubahan perasaan dan sikap yang berlaku pada orang lain. Namun, lelaki pula selalunya melihat tanda-tanda fizikal seperti air mata atau ditampar sebelum dia menyedari perasaan perempuan.

Seorang isteri boleh melihat sehelai rambut yang melekat pada baju suaminya pada jarak 20 kaki tetapi selalunya akan melanggar pintu garaj apabila memarkir kereta.

Ini adalah kerana mengagak jarak di antara belakang kereta dan dinding garaj adalah kemahiran spatial yang terletak di hemisfera kanan otak lelaki.

Wanita mempunyai perisian otak yang membolehkan mereka menerima sudut pandangan yang mampu mencapai 180 darjah menjadikan wanita mempunyai pandangan periferi yang luas tetapi lelaki hanya mempunyai penglihatan teropong.

Statistik daripada syarikat insurans menunjukkan kemungkinan pemandu wanita dilanggar dari tepi ketika di persimpangan jalan adalah lebih rendah berbanding pemandu lelaki. Penglihatan periferi yang lebih luas membolehkan mereka melihat kereta yang datang dari arah tepi. Kemungkinan wanita mengalami kemalangan di bahagian depan atau belakang lebih besar kerana kemahiran spatial mereka tidak begitu baik.

Pada tahun 1997, seramai 4132 pejalan kaki kanak-kanak terbunuh atau tercedera di jalan raya. Dan daripada jumlah itu, 2640 adalah kanak-kanak lelaki dan 1492 kanak-kanak perempuan. Ini adalah disebabkan kanak-kanak lelaki lebih mengambil risiko apabila menyeberang jalan ditambah dengan penglihatan periferi yang lemah.

Wanita juga mampu melihat semua isi kandung peti sejuk tanpa memusingkan kepala. Hormon estrogen mereka membolehkan mengenal pasti barang yang terdapat di dalam laci, almari ataupun yang berada di hujung bilik. Mereka mampu mengingati kedudukan benda tersebut secara rawak sama ada kedudukan mentega atau jem di dalam peti sejuk.

Kajian baru menunjukkan otak lelaki sebenarnya mencari perkataan M-E-N-T-E-G-A apabila mencari mentega di dalam peti sejuk. Apabila mentega itu menghadap tempat lain dan tulisan tidak kelihatan, lelaki terpaksa memusingkan kepala mereka ke kiri, kanan, atas dan bawah supaya mereka dapat mengimbas dan mencari barang-barang yang hilang.

Fakta yang lebih menarik, wanita jarang tertangkap apabila memerhatikan lelaki kerana sebab yang sama iaitu lelaki akan memandang wanita dengan memusingkan kepala tetapi wanita mampu memandang lelaki dengan ekor matanya sahaja.

Kajian bahasa badan menunjukkan komunikasi berhadapan dan isyarat tanpa bunyi memberi 60-80% kesan ke atas mesej itu. Manakala bunyi pula memberi kesan sebanyak 20-30% dan baki untuk 10% adalah kata-kata. Alat deria wanita berkemampuan menghantar maklumat dengan cepat daripada 1 hemisfera ke hemisfera yang lain menjadikan mereka lebih cekap memahami isyarat lisan, visual dan isyarat lain.

Oleh sebab itu lelaki tidak mampu berbohong secara berhadapan. Namun begitu, hampir semua wanita mampu berbohong dengan lelaki secara berhadapan dengan mudah kerana lelaki tidak mempunyai kepekaan mengesan perbezaan antara isyarat lisan, visual dan isyarat lainnya.

Kaum lelaki hanya menggunakan otak kiri bagi mendengar manakala wanita menggunakan kedua-dua belah otaknya. Otak wanita mampu mengasing, mengkategorikan bunyi dan seterusnya bertindak mengikut setiap bunyi yang mereka dengar. Inilah sebabnya perempuan dapat berbual dan pada masa yang sama dapat menonton televisyen dan mendengar radio. Faktor ini juga yang menjelaskan mengapa lelaki tidak dapat berbual dengan baik apabila terdengar bunyi suara televisyen atau radio dan terpaksa menutupnya.

Kanak-kanak lelaki sering dimarahi kerana tidak mendengar kata. Ini kerana saluran telinga mereka mengalami pembesaran ketika menjangkau usia akil baligh yang menyebabkan mereka ‘pekak’ buat sementara waktu. Jadi, apabila seorang guru memarahi murid perempuan yang tidak bertentangan mata dengannya, guru terus memarahi. Namun, apabila murid lelaki tidak memandang gurunya apabila dimarahi, secara automatik mereka tidak memberi perhatian dengan apa yang dikatakan kerana penglihatan teropong mereka lebih baik daripada pendengaran.

Sebagai demonstrasi ringkas, kira bilangan huruf  ’K’ yang terdapat dalam ayat berikut:

Kajian saintifik itu memakan masa bertahun-tahun dan memerlukan tenaga kerja yang ramai

Murid lelaki dapat memberikan jawapan yang lebih baik berbanding perempuan. Mereka dapat mencari kelima-lima huruf ‘K’ yang terdapat dalam ayat di atas kerana mereka mempunyai penglihatan teropong yang jelas berbanding pendengaran. Tetapi apabila ayat itu dibaca dengan kuat, murid perempuan dapat mengira huruf-huruf ‘K’ dengan lebih baik berbanding lelaki.

 

bersambung…

 

Rujukan:

Why Men Don’t Listen and Women Can’t Read Maps- Allan & Barbara Pease