Tag Archives: tiga fasa dalam rahim

Tiga Fasa Bayi Dalam Rahim

YANG TERSEMBUNYI DALAM RAHIM

Telah disebutkan dalam Al-Qur’anul Karim, lebih 1 400 tahun dahulu: “…Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan Yang mempunyai kerajaan. Tidak ada Tuhan selain Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan?” – Az-Zumar: 6.

Dalam ayat ini, jelas nyata bahawa seorang manusia diciptakan dalam tubuh ibunya dalam tiga fasa yang berbeza-beza. Embriologi moden telah mengungkapkan bahawa pembentukan embrio pada bayi terjadi dalam tiga tempat yang berbeza dalam rahim ibu.

Pada masa ini, di semua buku teks embriologi, mahupun obstetrik yang dipakai di pelbagai fakulti perubatan di seluruh dunia, hal ini telah dijadikan sebagai pengetahuan dasar. Misalnya, dalam buku Basic Human Embryology, sebuah buku teks utama dalam bidang embriologi, fakta ini diuraikan sebagai berikut:

“Kehidupan dalam rahim memiliki tiga fasa: pre-embrionik – dua setengah minggu pertama, embrionik – sampai hari terakhir minggu kelapan, dan janin – dari akhir minggu kelapan sampai kelahiran.” – Williams P., Basic Human Embryology, 3. edition, 1984; 64.

FASA – FASA BAYI DALAM RAHIM

Fasa-fasa ini mengacu pada tahap-tahap yang berbeza dalam perkembangan seorang bayi. Secara ringkas, ciri-ciri fasa perkembangan bayi dalam rahim adalah sebagaimana berikut:

 

1. Fasa Pre-Embrionik.

Pada fasa pertama ini, zigot melakukan pembahagian sel, membentuk segumpalan sel yang kemudian membenamkan diri pada dinding rahim. Seiring dengan pertumbuhan zigot, sel-sel penyusunnya pun mengatur diri mereka sendiri membentuk tiga lapisan yang dipanggil ektoderma, mesoderma dan endoderma.

2. Fasa Embrionik.

Fasa kedua ini berlangsung selama lima minggu setengah. Pada masa ini, bayi disebut sebagai ‘embrio’. Pada tahap ini, organ dan sistem tubuh bayi mulai terbentuk daripada lapisan-lapisan sel tersebut.

 

3. Fasa Fetus.

Dalam fasa terakhir ini, bayi disebut sebagai ‘fetus’. Fasa ini bermula sejak akhir minggu kelapan kehamilan dan berakhir hingga masa kelahiran. Ciri khusus fasa ini adalah terlihatnya fetus yang menyerupai manusia, dengan wajah, kedua tangan dan kakinya. Kesemua organnya telah pun kelihatan. Fasa ini berlangsung selama 30 minggu, sampailah kelahiran.

KESIMPULAN

Informasi tentang perkembangan yang terjadi dalam rahim ibu, barulah ditemui oleh para doktor perubatan setelah melakukan pengamatan yang lama dengan menggunakan peralatan moden. Namun, sebagaimana fakta-fakta ilmiah yang lain, informasi-informasi ini telah pun disampaikan dalam ayat-ayat Al-Qur’an dengan cara yang sungguh menakjubkan. Informasi yang dibawakan melalui Al-Qur’an begitu terperinci dan rapi sekali, pada saat manusia ketika itu memiliki pengetahuan yang cetek dalam bidang perubatan. Inilah buktinya bahawa Al-Qur’anul Karim bukanlah ucapan manusia, sebaliknya kalam yang berasal daripada Sang Pencipta Yang Maha Agung!

Firman Allah SWT: “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.” – Al-Hajj: 46.

 

RUJUKAN:

1.  Philip N. Baker; Obstetrics By Ten Teachers: 18th Edition; Edward Arnold Publishers Ltd; 2006.

2.  Williams P., Basic Human Embryology, 3. edition, 1984; 64.