Tag Archives: rahmat Allah

Allah Turunkan Rahmat Qur’an

AL-QUR’AN SEBAGAI RAHMAT BAGI MUKMIN

Mukmin yang Harum Manis Bak Limau

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran adalah seumpama buah ‘peria pahit’, buah itu tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum, tetapi berasa pahit.” – Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah.

Hati Bagi Seorang Mukmin

Pesan Imam Al-Ghazali, “Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Qur’an. Tetapi jika tidak ditemui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak ditemui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika tidak ditemui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pintalah hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu sudah tidak mempunyai hati!”

Amalan Seorang Mukmin yang Lebih Afdhal

Aisyah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Membaca Al-Qur’an di dalam solat adalah lebih afdhal (berharga) daripada membaca Al-Qur’an di luar solat, membaca Al-Quran di luar solat lebih baik daripada tasbih dan takbir (memuji Allah), tasbih adalah lebih tinggi daripada sedekah, sedekah adalah lebih baik daripada puasa sunat dan puasa sunat adalah penghalang daripada api neraka.” – Riwayat Al-Baihaqi.

Nur Mukmin di Akhirat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.: “Barangsiapa mendengar satu ayat daripada Kitab Allah SWT, maka dicatatkan untuknya hasanah berganda, dan barangsiapa membaca satu ayat daripada Kitab Allah SWT, maka ayat itu merupakan nur baginya kelak di hari kiamat.”

Mukmin yang Diziarahi Makamnya oleh Malaikat

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Hai Abu Hurairah, pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah kepada manusia, dan hendaklah kau selalu begitu hingga datang maut menghampirimu dalam keadaan begitu maka para malaikat berduyun-duyun ke makammu sebagaimana orang-orang mukmin berduyun-duyun ke Baitullah al-Haram.”

Mukmin yang Bersama Para Malaikat

“Orang yang mahir (membaca, menghafal, memahami, tadabbur, dan mengamalkan) berinteraksi dengan Al-Qur’an akan bersama para malaikat yang mulia dan taat, sedangkan yang membaca Al-Qur’an dengan terbata-bata dan ia merasa sulit, ia mendapatkan dua pahala.” – Riwayat Muslim

Mukmin yang Diberi Rahmat

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu di antara mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya kecuali turun kepada mereka ketenangan yang diliputi rahmat, dikelilingi malaikat, dan Allah SWT menyebut-nyebut nama mereka di sisi makhluk yang ada dekat denganNya.” – Riwayat Muslim.

7 KELEBIHAN AL-QUR’AN

1.  Kalamullah yang tidak ada keraguan padanya.

“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” – Al-Baqarah: 2.

2.  Jaminan terpelihara.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” – Al-Hijr: 9.

3.  Mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW.

“ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” – Al-Baqarah: 23.

4.  Mudah difahami dan jelas maksudnya.

“Dan sesungguhnya telah Kami permudahkan Al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” – Al-Qamar: 17.

5.  Kitab yang syumul (lengkap) dari segala aspek.

“Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” – An-Nahl: 89.

6.  Sesuai untuk setiap zaman dan tempat.

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” – Riwayat Abu Daud.

7.  Kitab kemanusiaan dan kehidupan.

“ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” – Al-Baqarah:  185.

KENAPA MESTI TETAP MEMBACA WALAUPUN TIDAK MEMAHAMI?

Terdapat seorang lelaki tua yang tinggal di sebuah ladang di Kentucky, US dengan cucunya. Setiap pagi, Si datuk akan membaca Al-Quran di ruang dapur. Si cucu yang melihat, juga meniru perbuatan datuknya itu.

Satu hari si cucu bertanya kepada datuknya, “Atuk, saya baca Quran ini tapi tak fahamlah maksudnya.  Kalau faham pun saya akan lupa bila tutup Al-Quran. Jadi apa gunanya kita baca Al-Quran ini?”

Si Datuk lalu berpaling sebentar dan mendapatkan sebuah bakul yang kotor kerana diisi arang sebelumnya. “Nah, kau pergi sungai, bawak air dalam bakul ni.”

Si cucu pun bergegas ke sungai yang berhampiran dengan rumah mereka di ladang. Apabila pulang, tiada lagi air yang tinggal di dalam bakul tersebut.

“Kau lambat sangat, cuba lari laju-laju sikit.” Si cucu pun berlari ke sungai dan apabila tiba di hadapan datuknya, tiada juga air yang tinggal.

“Tak bolehlah, Atuk.”

“Cuba sekali lagi.” Kali ini datuknya melihat dari pintu. Si cucu pun cepat-cepat ke sungai dan berlari membawa bakul untuk ditunjukkan kepada datuknya. “Nampak tak Atuk? Tak boleh. Tak ada gunaya.” Bentak si cucu.

Si Datuk pun berkata, “Jadi kau rasa tak bergunalah? Cuba kau tengok bakul tu.”

Seperti baru tersedar, si cucu baru perasan yang bakul yang tadinya kotor, kini sudah bersih. Terus si datuk menyambung, “Macam itulah dengan membaca Al-Quran, walaupun tidak memahami maksudnya, tetapi ia tetap membersihkan si pembacanya. Itu semua dengan kehendak Allah. Kerja Allah SWT.”

PENUTUP

Edward Gibbon (1737-1794), seorang ahli sejarah Inggeris, yang mengkaji Al-Qur’an berdasarkan fahaman yang benar berkata mengenai Al-Qur’an seperti berikut:

“Al-Qur’an itu adalah sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan, persaudaraan dan perundangan. Al-Qur’an mengandungi isi yang lengkap, daripada urusan ibadat, akidah, akhlak hingga pekerjaan sehari-hari dan daripada urusan rohani hingga jasmani seterusnya. Ia juga menerangkan segala pembalasan atas amalan manusia. Sebab itu amat besar perbezaan Al-Qur’an dengan Bible. Dalam Bible, tidak ada peraturan yang berhubung keduniaan melainkan cerita untuk penyucian diri. Bible tidak boleh menandingi Al-Qur’an kerana Al-Qur’an bukan sahaja menerangkan kaitan amalan keagamaan, bahkan mengupas asas politik kenegaraan. Al-Qur’an menjadi sumber undang-undang dasar memutuskan semua perkara yang berhubung dengan material kejiwaan.”

RUJUKAN

1.  Fadha’il (Kelebihan/Keutamaan) Al-Qur’an. http://www.binamuslim.com/2007/10/11/fadhail-kelebihankeutamaan-al-quran.html

2.  Al-Qur’an dan Islam Dari Kacamata Barat. http://malay.bismikaallahuma.org/al-quran-dan-islam-dari-kacamata-barat/

3.  Terjemahan Al-Qur’an. http://quranterjemah.com/