Tag Archives: penyakit hipotiroid

Penyakit Hipotiroid Merampas Kualiti Hidup Dalam Senyap

penyakit hipotiroid

Adakah anda mengalami

  • Cepat letih,
  • naik berat badan,
  • keguguran rambut,
  • cepat sejuk,
  • kejang otot,
  • kulit dan rambut kering,
  • sembelit,
  • kemurungan,
  • lemah daya ingatan,
  • kitaran haid yang tidak menentu
  • kurang libido
  • ketulan asing (goiter) di bahagian hadapan leher?

Maka anda mungkin mengalami penyakit Hipotiroid (Hypothyroid). Oleh kerana simptom yang terlalu umum, ramai yang tidak tahu akan penyakit yang mampu perampas hidup anda dalam senyap.

Apa itu penyakit Hipotiroid?

Hipotiroid ialah penyakit yang berpunca daripada kelenjar tiroid. Kelenjar tiroid ialah kelenjar yang berbentuk seperti rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher. Hipotiroidism adalah keadaan di mana kelenjar tiroid tersebut tidak mampu menghasilkan hormon tiroid yang secukupnya untuk memastikan kelancaran perjalanan sistem dalam badan secara normal.

Mengapa Hipotiroid berbahaya?

Penyakit Hipotiroid yang tidak dirawat boleh menyebabkan kadar denyutan jantung menjadi sangat perlahan hingga mampu membawa kepada koma. Tambahan pula, ia juga mempunyai hubungan langsung dengan penyakit darah tinggi, menambahkan kolesterol, kemandulan, dan Alzheimer (nyanyuk).

Adalah penting bagi setiap bayi yang baru dilahirkan untuk menjalani ujian saringan penyakit Hipotiroid melalui sampel darah daripada tali pusat. Bayi yang mempunyai kandungan hormon tiroid yang rendah akan diberi rawatan segera. Ini adalah penting kerana bayi yang tidak dirawat dalam masa 3 minggu akan mengalami kecacatan otak seumur hidup.

Apakah punca penyakit Hipotiroid?

Dalam kebanyakan kes, penyakit Hipotiroid adalah disebabkan penyakit Hashimoto’s thyroiditis (radang tiroid), di mana sistem imun pesakit akan menyerang dan memusnahkan sendiri tiroid tersebut. Hipotiroidism juga boleh disebabkan oleh rawatan untuk penyakit Hipertiroid (Hyperthyroid) akibat hormon tiroid yang terlalu tinggi atau ubat-ubatan lain.

Penyakit Hipotiroid yang wujud sejak dilahirkan pula adalah berpunca daripada pelbagai perkara. Antaranya adalah akibat diet ibu mengandung yang kurang iodin, atau kecacatan sejak dari janin lagi iaitu kelenjar tiroid yang tidak berkembang dengan sempurna. Hormon tiroid juga boleh menjadi kurang aktif selepas dilahirkan atau ia juga boleh dijangkiti virus. Masalah pada kelenjar pituitari boleh menyebabkan Hipotiroidism ini.

Bagaimanakah diagnosis penyakit Hipotiroid ini dibuat?

Pemeriksaan kesihatan dan ujian makmal untuk mengukur paras hormon tiroid (Tiroksin, atau T4) dan Tiroid Stimulating Hormone (TSH) dalam darah adalah diperlukan untuk mendapat diagnosis penyakit ini. Dengan mengukur paras antibodi dalam darah yang menyerang tiroid juga membantu untuk mengenal pasti punca Hipotiroid.

* Jadi, jumpalah doktor anda untuk Ujian Saringan Paras TSH dalam darah sebagai langkah berjaga-jaga. Sebaik-baiknya, lakukan ujian setahun sekali. Oleh kerana ia adalah penyakit keturunan, lakukan juga ujian saringan ini kepada semua ahli keluarga anda kerana anda mampu menyelamatkan mereka daripada Penyakit Hipotiroid!

ditulis oleh Nurul Hakimah Khairir