Tag Archives: pengabaian warga tua

Jangan Tinggal Daku – Kesedaran Tentang Kesihatan Warga Emas

KEKAL SIHAT DI USIA EMAS

Populasi warga emas di Malaysia saban tahun kian meningkat, terima kasih kepada gaya hidup yang sihat, kesedaran yang tinggi terhadap nutrisi dan senaman, dan juga taraf perkhidmatan kesihatan yang cemerlang!

Sebagai sebahagian anggota masyarakat yang tidak kurang banyaknya, warga emas perlu diberi perhatian sepenuhnya, terutamanya daripada ahli keluarganya sendiri, rukun tetangga dan seluruh rakyat amnya. Kebajikan warga emas perlulah diberi keutamaan. Hal ini demikian kerana sebagai masyarakat madani di negara yang harmoni ini, kita tentunya tidak mahu menjadi seperti kacang lupakan kulit. Warga emas yang masih berkeluarga ataupun yang sebatang kara, kebajikan mereka perlulah dititikberatkan samada dari sudut fizikal, mental, rohani mahupun emosi.

Dengan semangat ingin membantu dan meringankan beban kehidupan warga emas, setiap kita mampu mengubah mereka daripada duka menjadi suka, lemah menjadi kuat, sakit menjadi sihat, gerimis menjadi pelangi!

PENUAAN, PERUBAHAN FISIOLOGI BADAN DAN PENYAKIT YANG TERJADI

Proses penuaan sebenarnya berlaku sejak kita dilahirkan. Walau bagaimanapun, tidak semua orang menjadi tua dengan cara dan kadar yang sama. Ada orang kelihatan tua di usia 40 tahun, ada orang apabila berumur 60 tahun, manakala ada orang masih lagi aktif walaupun telah berumur 80 tahun. Ini adalah disebabkan oleh perbezaan gaya hidup, pemakanan dan keturunan.

Kulit tampak berkedut terutama di wajah, kulit menjadi kering dan mungkin bertompok, sendi dan  tulang mudah patah, otot menjadi lemah, mata mula rabun dekat, penglihatan menjadi kabur, pendengaran menjadi kurang terutama kepada bunyi nyaring, deria rasa dan bau semakin kurang. Semua ini adalah perubahan-perubahan biasa dalam proses penuaan.

Antara perubahan-perubahan lain yang berlaku adalah seperti tindakbalas lebih lambat, penghadaman menjadi lambat, saluran darah lebih keras dan kurang elastik, keupayaan jantung mengepam berkurangan, kurang keupayaan mengawal kencing, daya ingatan terutama kepada peristiwa baru menjadi kurang dan kekeliruan mungkin berlaku.

Professor Dr. Philip Poi Jun Hua, Ketua Bahagian Geriatrik, Jabatan Perubatan, Universiti Malaya, dalam kuliahnya yang bertajuk Assessment of the Elderly, menggariskan 5I – masalah-masalah yang sering dihadapi di usia emas.

1.   Intellectual impairment (Kemerosotan daya intelek).

Hal ini disebabkan pada ketika ini, golongan warga emas mengalami perubahan degeneratif di bahagian otak yang melemahkan daya ingatan, daya berfikir dan daya tumpuan. Antara penyakit yang sering terjadi ialah dementia (nyanyuk) dan depression (kemurungan).

2.   Immobility (Ketidakupayaan bergerak).

Pada ketika ini juga, warga emas mungkin mengalami penyakit-penyakit yang membuatkan mereka tidak mampu bergerak dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda. Mereka amat memerlukan bantuan daripada golongan muda terutamanya anak-anak dan ahli keluarga lain untuk bergerak walaupun dalam jarak yang dekat.

3.   Instability (Ketakstabilan)

Selain itu, otot-otot yang lemah dan tulang-tulang yang rapuh menyebabkan koordinasi pergerakan menjadi tidak stabil dan memudahkan mereka untuk jatuh seterusnya menyebabkan patah tulang, terseliuh dan sebagainya.

4.   Incontinence (Ketidakupayaan mengawal kencing)

Jangan sekali-kali merungut sekiranya warga emas membuang air kecil di tempat-tempat yang tidak sesuai. Ketahuilah bahawa mereka bukannya sengaja, sebaliknya tidak berupaya untuk mengawal kencing, disebabkan proses penuaan yang berlaku.

5.   Iatrogenic (Masalah yang berpunca daripada rawatan perubatan)

Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit yang sedia ada juga mempunyai kesan sampingan sekiranya dos yang digunakan adalah berlebihan. Contohnya, rawatan penyakit arthritis menggunakan ubat-ubat NSAIDs boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung yang semakin teruk, penyakit arteri koronari dan juga inflamasi perut yang kronik.

KEPERLUAN-KEPERLUAN GOLONGAN WARGA EMAS

Sebagai sebahagian daripada kita, golongan warga emas perlu sentiasa diberi perhatian, terutamanya oleh orang-orang yang dekat dengan mereka seperti ahli keluarga dan jiran-jiran. Antara keperluan untuk warga emas hidup sihat termasuklah:

1.   Makanan seimbang (nutrisi).

2.   Keselamatan.

3.   Tempat berteduh / tinggal.

4.   Agama (spiritual).

5.   Rekreasi.

6.   Kebolehan bergerak.

7.   Kasih sayang.

8.   Kebolehan berinteraksi / berhubung.

Andainya keperluan-keperluan ini tidak dapat dipenuhi atau dicapai, maka masalah-masalah kesihatan warga emas akan timbul ataupun menyebabkan masalah-masalah kesihatan yang sedia ada menjadi semakin teruk. Hal ini perlulah sentiasa ditekankan agar kesihatan mereka sentiasa terjamin.

TELADAN KISAH ANAK YANG TAAT

Suatu ketika, ada seorang ibu tua yang dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar untuk menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung.

Sekembalinya dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta. Langkahnya agak tergopoh-gopoh ketika menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik brek tangan keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan.

Tapi bila dia mula menjejaki anak tangga, “Subhanallah!” Si anak terkejut melihat najis berjejeran di anak tangga dan di laman rumah. “Mak sakit perut rupanya,” bisik hatinya.

Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga.

Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga. Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.

“Tak sembahyang Maghrib ke?” Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah.

“Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu dijamak takhir dengan Isyak nanti.” Si ibu tak terkata apa. Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh dari sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini.

“Ya Allah! Begini mulia rahmatmu mengurniakan hambamu ini anak yang soleh, yang mengenang jasa dan membalas budi. Ya Allah! Aku bersyukur padaMu… aku bersyukur padaMu ya Allah!” Sempat si ibu memanjatkan syukur dalam hati.

Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih.

Rentetan daripada peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah SWT. Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.

KESIMPULAN

Marilah kita sama-sama berbakti kepada kedua-dua orang ibu bapa dan warga emas yang lain selagi mereka masih ada lagi di dunia ini. Ingatlah hari ini hari mereka, besok hari adalah hari kita pula.

Hadis Nabi SAW: “Hinalah umatku, hinalah umatku, di mana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat daripada Allah SWT.”

 

RUJUKAN

1.   Professor Dr. Philip Poi Jun Hua. Lecture on: Assessment of the Elderly. Disampaikan di Auditorium Klinikal Klang, Fakulti Perubatan Cawangan, Universiti Malaya, 25 Mei 2011.

2.   Forget Me Not – An article on caring for the elderly and your family. Prof. Dr. Philip Poi Jun Hua. http://www.borneocolours.com/edutainment/43-support-tools/167-forget-me-not-by-dr-philip-poi-jun-hua-an-article-on-caring-for-the-elderly-and-your-family