Tag Archives: panduan

Memahami Penyakit Glaukoma. Panduan Untuk Menyelamatkan Penglihatan Anda

Tahukah anda bahawa glaukoma adalah satu penyebab utama penyakit buta bagi mereka yang berusia lebih 40 tahun? Dan tahukah anda bahawa kebutaan yang disebabkan oleh glaukoma boleh dielakkan.

Glaukoma bukanlah satu jangkitan dan ianya tidak berjangkit. Ia adalah satu keadaan di mana tekanan dalam satu atau kedua-dua mata meningkat sehingga ke tahap yang luar biasa.

Apabila tekanan ini (dipanggil tekanan intraokular) kekal tinggi untuk satu jangka masa, kerosakan struktur penglihatan yang halus akan berlaku. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa rawatan, anda boleh menjadi buta. Glaukoma biasanya menjejaskan kedua-dua mata. Untuk memahami bagaimana peningkatan tekanan mata boleh menjejaskan penglihatan, kita perlu memahami dahulu bagaimana mata berfungsi.

Satu Tinjauan ke Dalam Mata

Mata berfungsi seperti kamera. Bahagian hadapan mata diselaputi oleh satu lapisan tisu jernih yang dipanggil kornea. Iris yang membuka dan menutup merupai pengatup bukaan kamera yang mengawal jumah cahaya yang masuk melalui anak mata.

Kanta mata akan menumpukan cahaya ke atas retina yang seakan-akan filem yang merekodkan imej-imej cahaja. Retina akan menghantar utusan penglihatan ke otak. Di tengah-tengah saraf optik, terdapat satu lekuk yang dipanggil cakera optik. Tanda utama glaukoma adalah pembesaran struktur ini.

Segmen hadapan mata dipenuhi dengan cecair yang dipanggil akues humor. Cecair ini menolong mengawal tekanan intra-okular yang normal di antara 23 dan 21 mmHg supaya bola mata tidak kempis seperti belon tanpa udara.

Akues humr sentiasa dihasilkan oleh badan siliari dan disalir keluar melalui jaringan trabekular, di mana menerusinya ia kembali ke dalam sistem darah.

 

Apakah yang menyebabkan glaukoma?

Glaukoma terbentuk apabila bertambahnya pengeluaran akues humor atau akues humor tidak disalirkan keluar daripada bola mata sepenuhnya. Tekanan akan meningkat di dalam mata. Gentian-gentian saraf dan salur-salur darah di dalam saraf optik akan tertekan dan kemudiannya rosak dan musnah. Penghantaran utusan-utusan penglihatan menjadi lemah.

Akibat kesudahannya. Buta.

Mujurlah, anda boleh lakukan sesuatu untuk menjaga penglihatan anda. Pertahanan terbaik anda ialah melalui pemeriksaan mata yang kerap, terutama jika anda berusia lebih daripada 40 tahun. Glaukoma tidak boleh diubati tetapi boleh dikawal jika anda melawat pakar mata anda selalu dan patuh menggunakan ubat-ubatan yang dipreskripsikan. Pengesanan awal dan rawatan adalah satu-satunya cara untuk mencegah kehilangan penglihatan.

 

Jenis-jenis glaukoma

Glaukoma kronik merupakan jenis glaukoma yang paling lazim. Ia terbentuk secara perlahan, dan boleh memusnahkan penglihatan sisi serta penglihatan utama. Pengurangan saliran keluar cecair atau peningkatan penghasilan cecair dalam mata adalah sebab-sebab bertambahnya tekanan intra-okular secara perlahan yang memusnahkan saraf-saraf optik dalam kedua-dua mata.

Glaukoma boleh terbentuk tanpa amaran awal sehingga berlakunya kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan. Kehilangan daya penglihatan adalah sungguh perlahan dan biasanya berterusan tanpa disedari. Penglihatan terowong (tunnel vision), satu keadaan di mana lapangan penglihatan seseorang megecil sehingga menjadi satu kawasan kecil di tengah kemudiannya berlaku. Jika dibiarkan, glaukoma kronik akan memusnahkan penglihatan secara perlahan-lahan dan seterusnya menyebabkan kebutaan.

Kebanyakan orang yang menghidap glaukoma kronik tidak sedar bahawa daya penglihatan mereka telah merosot.

Glaukoma kronik dipanggil glaukoma sudut terbuka kerana sudut di antara iris dan kornea adalah normal, tetapi sistem saliran keluarnya tersumbat dari dalam.

Glaukoma akut

Glaukoma akut ditandai oleh kesakitan yang teruk dan mengejut di dalam dan sekeliling mata, pengurangan daya penglihatan dengan pantas, sakit kepala, mata merah dan selalunya mengalami loya dan muntah. Ia menyerang satu mata dan setiap serangan akan mengurangkan sebahagian lapangan penglihatan. Ini memerlukan rawatan kecemasan. Jika tekanan mata tinggi ini tidak diturunkan secepat mungkin, daya penglihatan boleh hilang selama-lamanya dalam beberapa jam.

Lain-lain

Glaukoma sekunder terjadi apabila salah satu keadaan-keadaan berikut berlaku, contohnya kecederaan, keradangan, tekanan darah tinggi atau penyakit kencing manis. Glaukoma kongenital yang berlaku sejak lahir adalah disebabkan kecacatan semasa perkembangan mekanisma saliran keluar mata.

 

Mendiagnos glaukoma

Glaukoma kronik jarang menunjukkan gejala-gejalanya. Oleh itu adalah penting anda selalu mendapatkan pemeriksaan mata yang menyeluruh daripada doktor anda. Pakar-pakar mata akan menjalankan bebarapa ujian yang mudah dan tidak menyakitkan untuk memeriksa perubahan tekanan mata, sudut saliran keluar, cakera optik dan lapangan penglihatan anda.

1. Sejarah perubatan adalah penting untuk mengetahui sama ada ahli-ahli keluarga anda menghidap glaukoma kerana penyakit ini boleh diwarisi.

2. Tonometri dilakukan untuk mengukur tekanan mata anda. Semasa tonometri dilakukan, satu prisma plastik akan ditekan secara lembut ke atas mata anda yang telah diberi ubat pelali. Bagi tonometri udara, satu tiupan angin akan dikenakan pada kornea.

3. Gonioskopi dilakukan dengan menggunakan sejenis kanta lekap istimewa untuk menilai sudut saliran keluar akues humor.

4. Penilaian cakera optik dilakukan dengan menggunakan kanta-kanta istimewa yang mempunyai belahan kecil cahaya untuk memeriksa sebatang pembesaran pada cakera optik. Satu optalmoskop digunakan untuk memeriksa perubahan pada saraf optik.

5. Analisis lapangan penglihatan adalah satu ujian berkomputer atau cahaya gelombang pendek untuk menilai penglihatan sisi anda. Anda akan duduk di hadapan satu skrin berbentuk mangkuk dan dikehendaki menekan sebiji butang setiap kali anda melihat cahaya. Setiap belah mata akan diuji secara berasingan. Satu peta kemudiannya dihasilkan untuk menunjukkan lapangan penglihatan anda.

 

Rawatan Glaukoma

Rawatan glaukoma bertujuan memulihkan tekanan intra-okular dan mencegah kemerosotan penglihatan yang seterusnya.

Merawat glaukoma kronik

Titisan mata

Jenis ubat yang paling kerap diberi untuk merawat glaukoma kronik adalah titisan mata. Bergantung kepada keadaan anda, anda mungkin menggunakan satu atau lebih jenis titisan mata. Sesetengah titisan mata akan mengurangkan tekanan mata dengan meningkatkan kadar saliran keluar mata. Titisan mata yang lain mengurangkan penghasilan cecair dalam mata. Selalunya, hanya penggunaan titisan mata yang kerap diperlukan untuk mengawal tekanan mata yang tinggi.

 Kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku

Kebanyakan orang boleh menggunakan titisan mata tanpa sebarang kesan sampingan. Akan tetapi, titisan mata juga boleh menyebabkan sakit kepala, keradangan mata, mata merah dan penglihatan kabur bagi sesetengah orang. Gejala-gejala ini biasanya ringan dan sementara. Ia muncul kerana mata anda sedang menyesuaikan diri dengan ubat tersebut dan akan hilang selepas 1 hingga 2 minggu. Bincanglah dengan pakar mata anda berkenaan kesan-kesan sampingan ubat anda. Pastikan anda memberitahu sebarang gejala-gejala yang luar biasa secepat mungkin tetapi jangan berhenti dari mengambil titisan tersebut. Teruskan menggunakan ubat sehingga temujanji yang berikutnya dengan pakar mata anda.

Rawatan-rawatan lain

Rawatan Laser

Jika tekanan ini tidak dapat dikawal dengan ubat atau ubat-ubatan ini memberi kesan sampingan, rawatan laser (trabekulopasti) akan disyorkan untuk membuka salur-salur salirang keluar bagi membolehkan cecair dikeluarkan dengan bebas. Selepas rawatan laser, anda mungkin memerlukan titisan-titisan mata atau pil-pil untuk mengawal tekanan mata anda.

Pembedahan

Kadangkala ubat-ubatan dan rawatan laser tidak berupaya mengawal tekanan mata atau laser tidak disyorkan kepada anda. Oleh itu, pembedahan (trabekulektomi) akan dilakukan. Satu saliran baru akan dibuat di dalam mata bagi memintas cecair dari saliran-salirang yang tersumbat. Selepas mata anda pulih, anda mungkin memerlukan titisan mata atau pil untuk mengawal tekanan intra-okular anda.

Merawat Glaukoma Akut

Selepas serangan glaukoma akut, anda memerlukan titisan mata setiap 15 hingga 30 minit untuk mengurangkan pengeluaran cecair dan menarik iris supaya ia menjauhi sistem saliran keluar. Ubat-ubat (makan atau suntik) mungkin juga memberikan diberikan serta merta bagi mengurangkan tekanan mata untuk sementara. Apabila tekanan mata turun ke tahap yang selamat, rawatan laser (iridotomi laser) atau pembedahan (iridotomi surgikal) akan dilakukan bagi membuat bukaan yang baru. Anda akan memerlukan titisan mata untuk satu jangka waktu selepas rawatan. Pembedahan yang berkesan akan disyorkan bagi menghalang serangan ke atas mata sebelah lain anda.

Kumpulan Berisiko Tinggi

Sesetengah orang berkecenderungan tinggi untuk menghidap glaukoma. Jika anda mempunyai sesetengah daripada kriteria berikut, adalah disyorkan supaya anda mendapatkan pemeriksaan mata.

  • Sejarah keluarga yang menghidap glaukoma
  • Berusia 40 tahun ke atas
  • Rabun jauh
  • Menghidap tekanan darah tinggi atau penyakit kencing manis
  • Pengguna steroid untuk jangka masa lama
  • Tekanan tinggi dalam mata
Bagaimana Menggunakan Titisan Mata
  1. Duduk, dongakkan kepala ke belakang dan pandang ke arah siling.
  2. Tarik kelopak mata bawah ke bawah dengan jari telunjuk anda. Atau tarik kelopak  mata bawah anda dengan jari ibu dan jari telunjuk anda.
  3. Pandang ke atas dan picit satu titis ke dalam kelopak mata bawah. Tutup mata anda. Jangan kelipkan mata atau sentuhkan tip boto pada matau atau muka anda.
  4. Tutup mata selama 2 hingga 3 minit. Pakar mata anda mungkin juga mengarahkan anda supaya menekan sudut bahagian dalam mata anda dengan jari telunjuk. Ulangi langkah 1 hingga 4 bagi setiap mata adan setiap jenis titisan yang anda gunakan. Tunggu 3 hingga 5 minit sebelum menitis titis kedua dalam setiap mata.
Peringatan penting jika anda menghidap glaukoma
  • Berikan senarai ubat-ubat glaukoma anda kepada doktor anda untuk mengelakkan interaksi dengan ubat-ubatan lain yang mungkin diberi kepada anda.
  • Simpankan satu kad pengenalan yang menunjukkan anda seorang penghidap glaukoma di dalam dompet anda. Ia mungkin penting jika berlakunya kecemasan.
  • Bawakan bekalan ubat yang lebih jika anda mengembara. Untuk mengelakkan kehilangan atau kerosakan ubat anda, simpankan bekalan lebih bersama anda.
  • Gunakan ubat anda setiap hari seperti diarahkan.
  • Beritahulah pakar mata anda jika ubat-ubatan memberikan kesan sampingan. Ubat lain mungkin akan diberikan kepada anda.
  • Apabila tekanan mata anda telah terkawal, anda masih perlu menggunakan ubat seperti yang dipreskripsikan. Jika anda berhenti, tekanan mata anda akanmeningkat semula dan ini mungkin menyebabkan lebih kerosakan pada saraf optik anda.
  • Ingatlah bahawa glaukoma berlanjut secara perlahan-lahan dan tanpa gejala. Oleh itu, teruskan ubat-ubatan anda.

Memahami Glaukoma Boleh Menyelamatkan Penglihatan Anda.

Glaukoma boleh mencuri penglihatan anda secara senyap dan tidak boleh diubati. Tetapi anda boleh melindungi penglihatan anda. Pertahanan terbaik adalah pemeriksaan mata yang kerap kerana hanya pengesanan awal dan rawatan boleh menolong mencegah kehilangan daya penglihatan buat selamanya. Pemeriksaan tahunan mata adalah dinasihatkan walaupun jika anda tidak mempunyai sebarang gejala.

Ingat! Hanya anda yang boleh menyelamatkan daya penglihatan anda sendiri.

Tips dan Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di Rumah

Ancaman terbesar bagi kanak-kanak ialah kecederaan selain daripada penyakit. Di Malaysia, kecederaan adalah di antara punca utama kematian kanak-kanak di bawah umur 14 tahun. Kunci utama untuk memastikan keselamatan anak-anak kita adalah untuk menjangka kehadiran situasi bahaya dan bukannya hanya bertindak selepas kejadian yang tidak diingini berlaku. Keselamatan anak-anak anda boleh diberi perhatian dari beberapa aspek. Pertama, pada aspek kanak-kanak itu sendiri, dari segi bahagian ruang di rumah dan juga apabila berlakunya kecemasan yang tidak diingini. Pada ruangan kali ini kita akan menyentuh tips-tips panduan keselamatan pada kanak-kanak dan juga aspek keselamatan yang harus ada di setiap rumah.

Aspek Kanak-Kanak

Untuk aspek kanak-kanak, perkara yang harus kita awasi adalah dari segi pemakanan, alat permainan dan juga pergerakan mereka.

Pemakanan

Susu ibu boleh mengelakkan jangkitan penyakit. Terdapat banyak kelebihan susu ibu yang harus anda ketahui. Ibu yang menyusu dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan arak dan dadah jika tidak diarahkan oleh doktor. Bagi ibu yang menyusu anak dengan susu botol, pastikan anak tidak ditinggalkan bersendirian atau tidur dengan botol susu di dalam mulut untuk mengelakkan kejadian tercekik. Bancuhkan susu baru setiap kali anak ingin menyusu. Panaskan susu di dalam bekas berisi air panas dan uji suhu susu dengan titiskan susu di pergelangan tangan (untuk memastikan susu tidak terlalu panas untuk diminum).

Puting/ pacifier adalah tidak digalakkan kerana boleh merosakkan barisan gigi. Bagi kanak-kanak yang menggunakan puting (pacifier), pastikan pelindung puting mesti cukup besar supaya tidak tertelan oleh anak. Jangan benarkan anak anda berjalan, berlari atau bermain ketika ada makanan dalam mulutnya.

Alat Permainan

Elakkan alat-alat mainan yang berikutnya:

  • Berbucu tajam atau mempunyai kemasan yang kasar.
  • Bertali melebihi 30 sentimeter.
  • Mempunyai bahagian kecil yang boleh ditanggalkan supaya anak-anak tidak masukkannya dalam mulut.
  • Mempunyai tangkai atau pemegang yang panjang yang boleh dimasukkan ke dalam mulut atau mencucuk mata.
  • Diperbuat daripada bahan yang mudah pecah atau koyak.
  • Mempunyai bulu atau rambut panjang yang boleh menyebabkan alahan.
  • Mempunyai enjin atau kipas yang berputar.

Pergerakan Kanak-kanak

Ubah ketinggian tilam katil bayi ke aras terendah apabila bayi mula berdiri. Ubahsuai juga ketinggian palang atas katil bayi supaya dia tidak boleh memanjat keluar.

Alat bantuan berjalan kanak-kanakadalah berbahaya. Anda dinasihatkan supaya jangan menggunakannya. Dengan alat ini, bayi boleh bergerak dengan lebih laju dan mencapai barang-barang di sekelilingnya. Bayi mendapat kebolehan untuk bergerak sebelum dia bersedia dan ini menyebabkan bayi lebih cenderung untuk mendapat kecederaan serius. Penggunaan alat bantuan berjalan tidak akan membantu kanak-kanak belajar berjalan dengan lebih cepat atau pantas

Apabila anak-anak sudah mula memahami, terdapat 15 peraturan keselamatan utama yang boleh anda ajar kepada anak-anak:

  1. Jangan cuba mengambil apa-apa jika tidak sampai dengan memanjat kerusi atau meja. Minta bantuan orang dewasa.
  2. Jangan lari atau main apabila ada makanan dalam mulut atau memegang benda tajam dalam tangan.
  3. Kemaskan alat permainan kamu supaya orang lain tidak terpijak dan jatuh.
  4. Jangan buka tingkap sendiri. Jangan menjenguk keluar dari tingkap yang terbuka.
  5. Jangan duduk atau berdiri di tempat yang tinggi dari lantai.
  6. Jangan berlari-lari atau bermain di tangga.
  7. Pengang palang apabila turun atau naik tangga dan jangan sekali-kali menggelongsor turun dari palang.
  8. Pastikan tali kasut kamu sentiasa diikat dengan kemas.
  9. Jangan cuba mengangkat atau membawa terlalu banyak benda dalam satu masa.
  10. Jangan bermain atau meletakkan beg plastic ke kepala.
  11. Jangan masuk ke dapur jikat tidak ada orang dewasa bersama.
  12. Jangan bermain dengan wayar langsir ayaty bidai. Ia boleh menjerut leher dah menyebabkan kamu tercekik.
  13. Jangan sentuh cawan, bekas atau periuk yang mempunyai cecair panas di dalamnya.
  14. Jangan sekali-kali bermain dengan api, mancis atau lilin.
  15. Jangan lompat ke dalam air atau pergi berenang seorang diri.

Kemudian jangan lupa juga untuk mengajar anak anda menggunakan telefon. Supaya sekiranya berlaku kecemasan, mereka boleh melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Ajar anak-anak anda bahawa nombor kecemasan hanya didail apabila berlaku kecemasan SAHAJA. Sekira boleh, terapkan kepada anak-anak anda menghafal nama penuh mereka, alamat rumah dan juga nombor telefon. Sekiranya mereka sudah boleh membaca, tuliskan nota berikut dan lekatkan berhampiran telefon. Makanya sekiranya berlaku kecemasan, kanak-kanak sepatutnya sudah boleh memberikan maklumat tersebut.

Aspek Ruang Rumah

Untuk aspek ruang rumah, kita harus memastikan bahagian-bahagian utama rumah berada dalam keadaan yang tidak mengancam keselamatan kanak-kanak. Beberapa tips untuk anda memastikan keadaan setiap ruang rumah anda sentiasa selamat.

Bahagian Ruang Tamu

  1. Tutup dan kunci pintu ke arah tangga dan hadang tangga dengan pagar.
  2. Terdapat banyak bucu yang tajam di dalam ruang tamu seperti meja dan rak. Gunakan penghalang bucu atau kain berpad untuk mengelakkan kecederaan di kepala, lebam dan benjol.
  3. Jika anda mempunyai meja kaca, salut bahagian kaca dengan plastik kejap bagi mengelakkan kaca dari pecah dan melukai anak sekiranya berlaku kemalangan.

Bahagian Dapur

  1. Simpan peralatan tajam supaya tidak boleh diambil oleh anak.
  2. Wayar bergantung dari peralatan elektrik seperti pengisar dan periuk nasi adalah berbahaya. Sorokkan dengan penutup wayar atau pita
  3. pelekat.
  4. Biasakan diri supaya memusingkan pemegang atau tangkai periuk ke dalam, berjauhan dari hujung meja. Jangan sekali-kali makan, minum,
  5. bawa atau menyediakan makanan atau minuman panas sambil mendukung bayi.
  6. Buang beg plastik dengan serta merta. Tebuk lubang dan ikat sebelum anda membuangnya. Atau, simpan beg plastik di tempat yang selamat. Selain lemas, kanak-kanak juga boleh tercekik jika termakan cebisan plastik yang kecil.

Bahagian Ruang Bilik Tidur

  1. Gunakan selak keselamatan atau penutup tombol pintu bagi menghalang kanak-kanak dari terperangkap di dalam almari.
  2. Jauhkan katil bayi, katil dan perabot dari tingkap. Pasang jeriji di tingkap atau penghalang supaya ia tidak boleh dibuka melebihi 10 sentimeter.
  3. Jika anda menggunakan katil dua tingkat, jangan benarkan kanak-kanak berusia kurang dari 6 tahun tidur di tingkat atas. Jangan benarkan kanak-kanak bermain di atas katil dua tingkat.
  4. Pastikan ada jalan keluar jika berlaku kecemasan seperti kebakaran. Anda mesti adakan satu jeriji tingkap yang boleh dibuka. Tetapkan tempat berkumpul bagi keluarga jika berlaku kecemasan.

Bilik Air

  1. Pastikan pintu ke bilik air dan tandas sentiasa tertutup.
  2. Jangan benarkan anak pergi ke bilik air atau tandas bersendirian. Sentiasa pastikan anak ditemani orang dewasa.
  3. Jangan sekali-kali tinggalkan anak bersendirian di dalam besen mandi atau sebarang bekas berisi air seperti baldi, kolam atau tandas walaupun untuk seketika. Kanak-kanak boleh lemas di dalam air berukuran
  4. kurang daripada 2.5 cm.
  5. Gunakan alas getah atau tuala sebagai alas di dalam besen mandi supaya bayi tidak tergelincir.
  6. Jangan letakkan peralatan elektrik berdekatan sinki, besen mandi atau tandas.
  7. Tuang dan kosongkan bekas berisi air dengan serta-merta selepas menggunakannya bagi mengelakkan kanak-kanak lemas. Letakkan besen dan baldi di tempat yang tidak boleh dicapai supaya anak tidak mengisikannya dengan air. Bekas yang berisi air seharusnya ditutup setiap waktu.

Malang tidak berbau. Anda sebagai ibu bapa kenalah sentiasa berjaga-jaga dan mengambil prihatin terhadap hal-hal sebegini walaupun pada mata kita, ia nampak remeh tetapi sekali ia terjadi kepada anak kita barulah kita sedar langit ini tinggi atau rendah.