Tag Archives: komplikasi

Kenali Mekanisma dan Rawatan Tinggi Kolesterol

KOLESTEROL

Ibarat kata Pretty Ugly,

Cinta kolesterol ku

Pasti kau tak mampu

Menolak cintaku

Dua kerusi untuk diriku

Lima pinggan untuk makan malamku

Semua orang peduli akan penampilan luaran masing-masing. Mempunyai susuk badan ibarat labu sayung menjadi idaman setiap kalbu. Tapi tahukah anda? Bahawa tidak kira siapa jua anda – labu sayung, tong gas, mahupun penyapu lidi – anda semua berpotensi untuk memiliki tahap kolesterol yang tinggi dalam darah atau dalam bahasa saintifiknya, hypercholesterolemia.

Apakah itu kolesterol? Adakah ianya bahaya? Bilakah ianya akan mendatangkan risiko tinggi kepada manusia? Apakah komplikasi-komplikasi yang terhasil daripada hiperkolesterolemia? Bagaimana pula langkah pencegahan atau rawatannya?

Sabar. Jika anda seorang yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah, dihujani persoalan dan permasalahan yang banyak boleh mempercepatkan kehadiran satu lagi penyakit iaitu tekanan darah tinggi.

DEFINISI, PARAS NORMAL DAN FUNGSI KOLESTEROL

Kolesterol, menurut Metabolisme Tubuh Manusia oleh Prof. Onn Hashim, merupakan sejenis lipid yang mempunyai kelarutan yang rendah dalam air. Pada suhu 25OC, kelarutan terhadnya adalah kira-kira 0.2 mg/dL.

Kepekatan kolesterol dalam darah bagi manusia yang normal adalah sekitar 150 – 200 mg/dL. Kelarutan kolesterol yang tinggi dalam darah adalah disebabkan oleh kehadiran lipoprotein plasma (terutamanya low-density lipoprotein, LDL dan very low-density lipoprotein, VLDL) yang berkeupayaan mengikat dan melarutkan kuantiti kolesterol yang banyak.

Dipendekkan cerita, antara fungsi utama kolesterol adalah:

  1. Komponen membran sel dan intrasel.
  2. Prekursor bagi asid hempedu.
  3. Prekursor bagi 5 kelas utama hormon steroid – progestagen, glukokortikoid, mineralokortikoid, androgen dan estrogen.

 

HIPERKOLESTEROLEMIA

Untuk mengetahui paras kolesterol anda, ujian profil lipid bolehlah dilaksanakan. Ujian ini akan memberikan bacaan untuk nilai kolesterol total, HDL, LDL, VLDL dan trigliserida dalam darah.

Bagi seseorang yang muda lagi sihat bertenaga, nilai purata kolesterol plasma yang normal ialah 175 mg/dL. Amnya, paras kolesterol plasma yang melebihi 200 mg/dL dianggap tinggi dan diistilahkan sebagai hiperkolesterolemia.

Bagi seseorang yang mempunyai nilai kolesterol plasma di antara 200 hingga 240 mg/dL, risikonya terhadap penyakit jantung koronari adalah sederhana. Seseorang yang mempunyai nilai kolesterol plasma melebihi nilai ini, berisiko tinggi terhadap penyakit jantung koronari.

Seperti yang telah dibincangkan, kolesterol plasma diangkut dan diedar oleh lipoprotein. Antara lipoprotein yang wujud, yang paling kaya-raya dengan kolesterol ialah LDL. Tingginya paras LDL dalam plasma dikaitkan dengan hiperkolesterolemia.

LDL berfungsi mengangkut dan mengedarkan kolesterol ke tisu bukan hepar. Oleh itu, pada amnya, paras LDL plasma yang tinggi menggalakkan proses pemunggahan kolesterol ke tisu bukan hepar. Sekiranya dibiarkan berlanjutan, proses ini menimbulkan masalah aterosklerosis. Ciri ini menyebabkan LDL digelar ‘kolesterol jahat.’

Dalam dunia ini, segalanya diciptakan berpasangan. Ada kolesterol jahat, ada juga kolesterol baik. Apakah kolesterol baik? Dalam dunia biokimia, HDL dipanggil ‘kolesterol baik’ kerana peranannya mengangkut kolesterol dari tisu bukan hepar dan lipoprotein-lipoprotein lain kembali ke hepar supaya dapat dikumuhkan. Paras HDL plasma yang tinggi menunjukkan seseorang itu berkeupayaan mengkumuh kolesterol dengan cekap.

HIPERKOLESTEROLEMIA DAN KOMPLIKASI-KOMPLIKASINYA

Ketaknormalan metabolisme atau pengangkutan kolesterol di dalam plasma boleh mencetuskan aterosklerosis, iaitu pengerasan arteri yang boleh menyebabkan infarksi miokardium.

Pada mulanya, keadaan hiperkolesterolemia akan menyebabkan penimbunan lipid berlaku di dalam sel makrofaj dan otot licin arteri. Sekiranya langkah awal untuk mengurangkan paras kolesterol plasma dilakukan, timbunan lipid masih boleh dibersihkan. Sekiranya paras kolesterol plasma yang tinggi berlarutan, timbunan lipid akan mula berlaku di dalam intima arteri. Selalunya keadaan ini berasosiasi dengan proses fibrosis apabila kolagen ditimbunkan bersama untuk membentuk satu struktur plak yang berserat. Plak ateroskerosis mengeras melalui proses kalsifikasi.

Dukacita sungguh dimaklumkan bahawa plak ateroskerosis sekali sudah terbina, tidak dapat dilarut atau dimusnahkan. Pada peringkat ini, usaha untuk mengurangkan paras kolesterol plasma tidak mendatangkan sebarang kesan kepada plak yang sedia terbentuk. Pembentukan plak ini menyebabkan penyempitan lumen arteri dan mengganggu aliran darah.

Pembentukan plak aterosklerosis biasanya dikaitkan dengan perubahan degeneratif yang menyebabkan permukaan intima arteri menjadi kasar. Sekiranya retakan plak berlaku, struktur kolagen akan terdedah kepada plasma.

Fenomena ini yang berlaku dalam aliran darah yang terganggu akan mengaktifkan penggumpalan darah melalui laluan intrinsik atau trombosis. Trombus akan mengikut aliran darah dan boleh menyumbat lumen arteri, terutama di bahagian yang sedia sempit dirintangi plak aterosklerotik.

Penyumbatan saluran

Arteri seterusnya menyekat bekalan darah dan oksigen kepada tisu yang terlibat dan menyebabkan iskemia tisu yang bakal membawa kepada infarksi sekiranya tidak disingkir dengan cepat.

Berikut adalah ringkasan komplikasi yang berlaku mengiringi aterosklerosis pada tempat-tempat yang berbeza dalam badan:

  1. Arteri koronari ? Infarksi miokardium atau sakit jantung
  2. Salur darah otak ? Penyakit Stroke
  3. Arteri di bahagian kaki ? Penyakit periferi vaskular
  4. Arteri ke ginjal ? Kegagalan fungsi ginjal
  5. Arteri ke mata ? Pengkaburan dan kerosakan penglihatan

Seringkali, arteri yang dilanda masalah aterosklerosis adalah arteri koronari.

RAWATAN HIPERKOLESTEROLEMIA

Bagi mengurangkan paras kolesterol plasma, seterusnya merendahkan risiko terhadap penyakit jantung koronari, beberapa langkah awal boleh diambil.

Pengawalan pemakanan merupakan langkah terbaik yang dapat dilakukan pada peringkat awal. Makanan seperti kuning telur, otak haiwan dan makanan yang mengandungi minyak haiwan mestilah dielakkan sama sekali. Di samping itu, amalan pemakanan yang kaya dengan asid lemak poli tak tepu dan asid lemak mono tak tepu boleh membantu mengurangkan paras kolesterol plasma berbanding asid lemak tepu.

Dalam keadaan hiperkolesterolemia yang teruk, beberapa ubat hipolipidemik disyorkan. Antaranya ialah mevastatin dan lovastatin yang merencat enzim HMG-CoA reduktase, seterusnya menghalang sintesis kolesterol. Sitosterol pula bertindak merencatkan penyerapan kolesterol semula di trak gastrousus. Selain daripada itu, resin (cholestipol dan cholestyramine) mengurangkan paras kolesterol plasma secara tidak langsung dengan mengikat kepada asid hempedu di dalam usus. Asid hempedu yang terikat kepada resin tidak dapat diserap balik dan terkumuh melalui tinja. Dengan terkumuhnya asid hempedu secara berlebihan, lebih banyak kolesterol digunakan untuk menghasilkan asid hempedu, seterusnya mengurangkan paras kolesterol dalam darah (sila rujuk fungsi ke-2 kolesterol seperti yang telah diterangkan di atas).

KESIMPULAN

Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawati. Jagalah pemakanan anda setiap masa kerana sabda Rasulullah SAW tercinta:

Perut ialah rumah penyakit, dan puasa ialah raja segala ubat.

Baca artikel-artikel di bawah untuk mengetahui penyakit-penyakit umum di Malaysia.

  1. Simptom, Komplikasi dan Rawatan Kencing Manis
  2. Tekanan Darah Tinggi, Sejauh Mana Risiko Anda?

Memahami Penyakit Glaukoma. Panduan Untuk Menyelamatkan Penglihatan Anda

Tahukah anda bahawa glaukoma adalah satu penyebab utama penyakit buta bagi mereka yang berusia lebih 40 tahun? Dan tahukah anda bahawa kebutaan yang disebabkan oleh glaukoma boleh dielakkan.

Glaukoma bukanlah satu jangkitan dan ianya tidak berjangkit. Ia adalah satu keadaan di mana tekanan dalam satu atau kedua-dua mata meningkat sehingga ke tahap yang luar biasa.

Apabila tekanan ini (dipanggil tekanan intraokular) kekal tinggi untuk satu jangka masa, kerosakan struktur penglihatan yang halus akan berlaku. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa rawatan, anda boleh menjadi buta. Glaukoma biasanya menjejaskan kedua-dua mata. Untuk memahami bagaimana peningkatan tekanan mata boleh menjejaskan penglihatan, kita perlu memahami dahulu bagaimana mata berfungsi.

Satu Tinjauan ke Dalam Mata

Mata berfungsi seperti kamera. Bahagian hadapan mata diselaputi oleh satu lapisan tisu jernih yang dipanggil kornea. Iris yang membuka dan menutup merupai pengatup bukaan kamera yang mengawal jumah cahaya yang masuk melalui anak mata.

Kanta mata akan menumpukan cahaya ke atas retina yang seakan-akan filem yang merekodkan imej-imej cahaja. Retina akan menghantar utusan penglihatan ke otak. Di tengah-tengah saraf optik, terdapat satu lekuk yang dipanggil cakera optik. Tanda utama glaukoma adalah pembesaran struktur ini.

Segmen hadapan mata dipenuhi dengan cecair yang dipanggil akues humor. Cecair ini menolong mengawal tekanan intra-okular yang normal di antara 23 dan 21 mmHg supaya bola mata tidak kempis seperti belon tanpa udara.

Akues humr sentiasa dihasilkan oleh badan siliari dan disalir keluar melalui jaringan trabekular, di mana menerusinya ia kembali ke dalam sistem darah.

 

Apakah yang menyebabkan glaukoma?

Glaukoma terbentuk apabila bertambahnya pengeluaran akues humor atau akues humor tidak disalirkan keluar daripada bola mata sepenuhnya. Tekanan akan meningkat di dalam mata. Gentian-gentian saraf dan salur-salur darah di dalam saraf optik akan tertekan dan kemudiannya rosak dan musnah. Penghantaran utusan-utusan penglihatan menjadi lemah.

Akibat kesudahannya. Buta.

Mujurlah, anda boleh lakukan sesuatu untuk menjaga penglihatan anda. Pertahanan terbaik anda ialah melalui pemeriksaan mata yang kerap, terutama jika anda berusia lebih daripada 40 tahun. Glaukoma tidak boleh diubati tetapi boleh dikawal jika anda melawat pakar mata anda selalu dan patuh menggunakan ubat-ubatan yang dipreskripsikan. Pengesanan awal dan rawatan adalah satu-satunya cara untuk mencegah kehilangan penglihatan.

 

Jenis-jenis glaukoma

Glaukoma kronik merupakan jenis glaukoma yang paling lazim. Ia terbentuk secara perlahan, dan boleh memusnahkan penglihatan sisi serta penglihatan utama. Pengurangan saliran keluar cecair atau peningkatan penghasilan cecair dalam mata adalah sebab-sebab bertambahnya tekanan intra-okular secara perlahan yang memusnahkan saraf-saraf optik dalam kedua-dua mata.

Glaukoma boleh terbentuk tanpa amaran awal sehingga berlakunya kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan. Kehilangan daya penglihatan adalah sungguh perlahan dan biasanya berterusan tanpa disedari. Penglihatan terowong (tunnel vision), satu keadaan di mana lapangan penglihatan seseorang megecil sehingga menjadi satu kawasan kecil di tengah kemudiannya berlaku. Jika dibiarkan, glaukoma kronik akan memusnahkan penglihatan secara perlahan-lahan dan seterusnya menyebabkan kebutaan.

Kebanyakan orang yang menghidap glaukoma kronik tidak sedar bahawa daya penglihatan mereka telah merosot.

Glaukoma kronik dipanggil glaukoma sudut terbuka kerana sudut di antara iris dan kornea adalah normal, tetapi sistem saliran keluarnya tersumbat dari dalam.

Glaukoma akut

Glaukoma akut ditandai oleh kesakitan yang teruk dan mengejut di dalam dan sekeliling mata, pengurangan daya penglihatan dengan pantas, sakit kepala, mata merah dan selalunya mengalami loya dan muntah. Ia menyerang satu mata dan setiap serangan akan mengurangkan sebahagian lapangan penglihatan. Ini memerlukan rawatan kecemasan. Jika tekanan mata tinggi ini tidak diturunkan secepat mungkin, daya penglihatan boleh hilang selama-lamanya dalam beberapa jam.

Lain-lain

Glaukoma sekunder terjadi apabila salah satu keadaan-keadaan berikut berlaku, contohnya kecederaan, keradangan, tekanan darah tinggi atau penyakit kencing manis. Glaukoma kongenital yang berlaku sejak lahir adalah disebabkan kecacatan semasa perkembangan mekanisma saliran keluar mata.

 

Mendiagnos glaukoma

Glaukoma kronik jarang menunjukkan gejala-gejalanya. Oleh itu adalah penting anda selalu mendapatkan pemeriksaan mata yang menyeluruh daripada doktor anda. Pakar-pakar mata akan menjalankan bebarapa ujian yang mudah dan tidak menyakitkan untuk memeriksa perubahan tekanan mata, sudut saliran keluar, cakera optik dan lapangan penglihatan anda.

1. Sejarah perubatan adalah penting untuk mengetahui sama ada ahli-ahli keluarga anda menghidap glaukoma kerana penyakit ini boleh diwarisi.

2. Tonometri dilakukan untuk mengukur tekanan mata anda. Semasa tonometri dilakukan, satu prisma plastik akan ditekan secara lembut ke atas mata anda yang telah diberi ubat pelali. Bagi tonometri udara, satu tiupan angin akan dikenakan pada kornea.

3. Gonioskopi dilakukan dengan menggunakan sejenis kanta lekap istimewa untuk menilai sudut saliran keluar akues humor.

4. Penilaian cakera optik dilakukan dengan menggunakan kanta-kanta istimewa yang mempunyai belahan kecil cahaya untuk memeriksa sebatang pembesaran pada cakera optik. Satu optalmoskop digunakan untuk memeriksa perubahan pada saraf optik.

5. Analisis lapangan penglihatan adalah satu ujian berkomputer atau cahaya gelombang pendek untuk menilai penglihatan sisi anda. Anda akan duduk di hadapan satu skrin berbentuk mangkuk dan dikehendaki menekan sebiji butang setiap kali anda melihat cahaya. Setiap belah mata akan diuji secara berasingan. Satu peta kemudiannya dihasilkan untuk menunjukkan lapangan penglihatan anda.

 

Rawatan Glaukoma

Rawatan glaukoma bertujuan memulihkan tekanan intra-okular dan mencegah kemerosotan penglihatan yang seterusnya.

Merawat glaukoma kronik

Titisan mata

Jenis ubat yang paling kerap diberi untuk merawat glaukoma kronik adalah titisan mata. Bergantung kepada keadaan anda, anda mungkin menggunakan satu atau lebih jenis titisan mata. Sesetengah titisan mata akan mengurangkan tekanan mata dengan meningkatkan kadar saliran keluar mata. Titisan mata yang lain mengurangkan penghasilan cecair dalam mata. Selalunya, hanya penggunaan titisan mata yang kerap diperlukan untuk mengawal tekanan mata yang tinggi.

 Kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku

Kebanyakan orang boleh menggunakan titisan mata tanpa sebarang kesan sampingan. Akan tetapi, titisan mata juga boleh menyebabkan sakit kepala, keradangan mata, mata merah dan penglihatan kabur bagi sesetengah orang. Gejala-gejala ini biasanya ringan dan sementara. Ia muncul kerana mata anda sedang menyesuaikan diri dengan ubat tersebut dan akan hilang selepas 1 hingga 2 minggu. Bincanglah dengan pakar mata anda berkenaan kesan-kesan sampingan ubat anda. Pastikan anda memberitahu sebarang gejala-gejala yang luar biasa secepat mungkin tetapi jangan berhenti dari mengambil titisan tersebut. Teruskan menggunakan ubat sehingga temujanji yang berikutnya dengan pakar mata anda.

Rawatan-rawatan lain

Rawatan Laser

Jika tekanan ini tidak dapat dikawal dengan ubat atau ubat-ubatan ini memberi kesan sampingan, rawatan laser (trabekulopasti) akan disyorkan untuk membuka salur-salur salirang keluar bagi membolehkan cecair dikeluarkan dengan bebas. Selepas rawatan laser, anda mungkin memerlukan titisan-titisan mata atau pil-pil untuk mengawal tekanan mata anda.

Pembedahan

Kadangkala ubat-ubatan dan rawatan laser tidak berupaya mengawal tekanan mata atau laser tidak disyorkan kepada anda. Oleh itu, pembedahan (trabekulektomi) akan dilakukan. Satu saliran baru akan dibuat di dalam mata bagi memintas cecair dari saliran-salirang yang tersumbat. Selepas mata anda pulih, anda mungkin memerlukan titisan mata atau pil untuk mengawal tekanan intra-okular anda.

Merawat Glaukoma Akut

Selepas serangan glaukoma akut, anda memerlukan titisan mata setiap 15 hingga 30 minit untuk mengurangkan pengeluaran cecair dan menarik iris supaya ia menjauhi sistem saliran keluar. Ubat-ubat (makan atau suntik) mungkin juga memberikan diberikan serta merta bagi mengurangkan tekanan mata untuk sementara. Apabila tekanan mata turun ke tahap yang selamat, rawatan laser (iridotomi laser) atau pembedahan (iridotomi surgikal) akan dilakukan bagi membuat bukaan yang baru. Anda akan memerlukan titisan mata untuk satu jangka waktu selepas rawatan. Pembedahan yang berkesan akan disyorkan bagi menghalang serangan ke atas mata sebelah lain anda.

Kumpulan Berisiko Tinggi

Sesetengah orang berkecenderungan tinggi untuk menghidap glaukoma. Jika anda mempunyai sesetengah daripada kriteria berikut, adalah disyorkan supaya anda mendapatkan pemeriksaan mata.

  • Sejarah keluarga yang menghidap glaukoma
  • Berusia 40 tahun ke atas
  • Rabun jauh
  • Menghidap tekanan darah tinggi atau penyakit kencing manis
  • Pengguna steroid untuk jangka masa lama
  • Tekanan tinggi dalam mata
Bagaimana Menggunakan Titisan Mata
  1. Duduk, dongakkan kepala ke belakang dan pandang ke arah siling.
  2. Tarik kelopak mata bawah ke bawah dengan jari telunjuk anda. Atau tarik kelopak  mata bawah anda dengan jari ibu dan jari telunjuk anda.
  3. Pandang ke atas dan picit satu titis ke dalam kelopak mata bawah. Tutup mata anda. Jangan kelipkan mata atau sentuhkan tip boto pada matau atau muka anda.
  4. Tutup mata selama 2 hingga 3 minit. Pakar mata anda mungkin juga mengarahkan anda supaya menekan sudut bahagian dalam mata anda dengan jari telunjuk. Ulangi langkah 1 hingga 4 bagi setiap mata adan setiap jenis titisan yang anda gunakan. Tunggu 3 hingga 5 minit sebelum menitis titis kedua dalam setiap mata.
Peringatan penting jika anda menghidap glaukoma
  • Berikan senarai ubat-ubat glaukoma anda kepada doktor anda untuk mengelakkan interaksi dengan ubat-ubatan lain yang mungkin diberi kepada anda.
  • Simpankan satu kad pengenalan yang menunjukkan anda seorang penghidap glaukoma di dalam dompet anda. Ia mungkin penting jika berlakunya kecemasan.
  • Bawakan bekalan ubat yang lebih jika anda mengembara. Untuk mengelakkan kehilangan atau kerosakan ubat anda, simpankan bekalan lebih bersama anda.
  • Gunakan ubat anda setiap hari seperti diarahkan.
  • Beritahulah pakar mata anda jika ubat-ubatan memberikan kesan sampingan. Ubat lain mungkin akan diberikan kepada anda.
  • Apabila tekanan mata anda telah terkawal, anda masih perlu menggunakan ubat seperti yang dipreskripsikan. Jika anda berhenti, tekanan mata anda akanmeningkat semula dan ini mungkin menyebabkan lebih kerosakan pada saraf optik anda.
  • Ingatlah bahawa glaukoma berlanjut secara perlahan-lahan dan tanpa gejala. Oleh itu, teruskan ubat-ubatan anda.

Memahami Glaukoma Boleh Menyelamatkan Penglihatan Anda.

Glaukoma boleh mencuri penglihatan anda secara senyap dan tidak boleh diubati. Tetapi anda boleh melindungi penglihatan anda. Pertahanan terbaik adalah pemeriksaan mata yang kerap kerana hanya pengesanan awal dan rawatan boleh menolong mencegah kehilangan daya penglihatan buat selamanya. Pemeriksaan tahunan mata adalah dinasihatkan walaupun jika anda tidak mempunyai sebarang gejala.

Ingat! Hanya anda yang boleh menyelamatkan daya penglihatan anda sendiri.

12 Tips Mudah Penjagaan Payudara sebagai Langkah Pencegahan Awal Kanser Payudara

1. Makan sayur-sayuran.

Kajian menunjukkan wanita yang mengamalkan diet yang tinggi dengan buah-buahan dan sayuran mempunyai kadar kanser payudara yang lebih rendah. Sayuran seperti brokoli, kubis brussels, kubis bunga dan kubis didapati mempunyai kesan pencegahan kanser yang lebih kuat.

2. Teh hijau 

Teh hijau bermanfaat untuk kesihatan umum. Tambahkan teh hijau ke dalam diet harian. Kajian menunjukkan risiko kanser payudara yang lebih rendah dikalangan mereka yang minum teh hijau.

3. Hadkan pengambilan alkohol dan jauhi rokok.

Pengambilan alkohol meningkatkan risiko kanser payudara. Hadkan pengambilannya dan berhenti merokok sekiranya anda perokok.

4. Ambil kira jumlah dan jenis lemak yang dimakan.

Penyelidikan menunjukkan pengambilan lemak yang tinggi, iaitu 40% atau lebih daripada kalori harian memberi lebih risiko berbanding 20% daripada kalori harian. 20% daripada nilai kalori adalah paling disarankan oleh pakar dietetik. Selain itu, lemak tepu yang dijumpai dalam daging berlemak (marbled meat) dan produk tenusu yang berlemak tinggi lebih cenderung meningkatkan risiko kanser payudara berbanding lemak tak tepu dalam kekacang, bijian dan avokado serta minyak zaitun dan kanola.

5. Mengambil supplemen vitamin E

Kajian ke atas sel-sel payudara menunjukkan bahawa ahli keluarga vitamin E, iaitu tokotrienol mempunyai kesan anti-tumor yang poten dan menggalakan kematian sel tumor, dengan itu mengurangkan risiko kanser payudara. Sebaliknya vitamin E bukan tokotrienol tidak memilik kesan yang signifikan ke atas sel kanser payudara.

6. Meningkatkan pengambilan antioksida.

Tekanan oksidatif dan kesan kerosakannya boleh memulakan proses kanser. Antara cara terbaik untuk menghentikannya adalah dengan antioksida seperti vitamin E, C dan selenium.

7. Senaman secara tetap.

Kajian epidemiologi menunjukkan aktiviti fizikal boleh mengurankan risiko kanser payudara. Kajian yang diterbitkan dalam Asia Pasifik Journal of Cancer Prevention edisi Julai-September 2009 mendapati wanita yang melakukan kerja yang memerlukan mereka berdiri atau bergerak di kebanyakan masa dalam sehari adalah 34% lebih rendah untuk mendapat kanser payudara berbanding mereka yang banyak duduk.

8. Mencari alternatif untuk Terapi Penggantian Hormon (HRT)

Beberapa kajian menunjukkan bahawa HRT meningkatkan risiko kanser payudara. Wanita yang berisiko tinggi boleh mencari alternatif untuk HRT. Bincang dengan doktor tentang pilihan yang ada.

9. Pemeriksaan Payudara Sendiri (BSE)

Adalah penting untuk mengesan kelainan pada payudara anda. Cuba lakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali dan sebaiknya seminggu selepas haid. Mamogram disarankan untuk wanita berusia 35 tahun keatas.

Baca artikel bagaimana untuk anda melakukan pemeriksaan payudara sendiri.

 

10. Urutan sendiri.

Urutan meningkatkan aliran darah, aliran cecair tubuh dan memperbaiki saraf impuls. Urutan sendiri boleh dilakukan smdah memberi tekanan ringan (gerakan membulat) dari setiap arah atas tisu payudara dan mengusap lembut di atas seluruh bawah lengan untuk merangsang kalenjar nodus limfa.

11. Pakai coli yang sesuai.

Meskipun tiada bukti tepat yang menyokong idea bahawa coli boleh menyebabkan kanser payudara, namun dikira langkah baik agar tidak memakai coli yang kurang sesuai yang boleh menyekat aliran limfa ke payudara. Coli bukan sekadar pakaian dalam, malah perlu untuk menyokong payudara. Jika anda bersenam atau kerap berlari, pakailah coli untuk bersukan. Payudara melendut dengan lebih cepat tanpa sokongan yang baik.

12. Dapatkan rawatan profesional.

Tumor kanser yang dikesan ketika masih kecil lebih berpeluang untuk sembuh sepenuhnya berbanding menunggu sehingga ia lebih besar.