PENGENALAN
Obesiti diistilahkan sebagai lemak badan berlebihan sehingga mampu mengundang pelbagai masalah kesihatan antaranya, tekanan darah tinggi, tinggi kandungan kolesterol di dalam darah, masalah jantung , stroke, diabetes mellitus, gout, dan osteoarthritis. Kita mungkin nampak sedikit berisi, tetapi adakah kita masih dalam kategori ideal? Ataupun sudah dalam lingkungan ‘Overweight’? atau yang lebih teruk lagi, obesiti? Klasifikasi ini ditentukan oleh Body Mass Index (BMI). BMI mengkelaskan individu itu berdasarkan berat badan dan ketinggian. Individu itu adalah obes sekiranya BMI individu tersebut melebihi 27.5.
Sila klik disini untuk mengetahui BMI anda dan rujuk jadual di bawah.
*BMI untuk orang-orang Asia. |
Obesiti juga memiliki beberapa klasifikasi atau peringkat yang lebih spesifik. Jadual dibawah dikeluarkan oleh World Health Organisation (WHO).
| Jadual 2 : Julat BMI yang digunakan untuk mengkategorikan tahap terlebih berat badan dan risiko mendapat penyakit yang berkaitan. |
| Klasifikasi WHO | BMI (kg/m2) | Risiko mendapat penyakit |
| Terlebih Berat | 25-30 | Sedikit meningkat |
| Obes | > 30 | |
| Kelas I | 30-35 | Meningkat dengan sederhana |
| Kelas II | 35-40 | Meningkat dengan banyak |
| Kelas III | > 40 | Meningkat dengan sangat banyak |
APA YANG MERUNSINGKAN KITA?
Berdasarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Malaysia merupakan Negara ke-enam kadar obesiti tertinggi diasia selepas, Saudi Arabia, UAE, Bahrain, Kuwait dan Jordan. Ini menempatkan Negara kita di no.1 antara Negara-negara ASEAN.
Untuk menonton sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan klik disini
Hal ini amat merungsingkan banyak pihak dinegara kita terutama sekali kementerian kesihatan dan barisan ahli perubatan di seluruh Malaysia. Kerisauan ini berakar umbikan – obesiti berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit. Sekarang kita sudah begitu ramai dalam keadaan obesiti, maknanya dalam sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang, ramailah pesakit yang akan menghidap penyakit-penyakit kronik seperti yang tertera dalam jadual dibawah. Majoriti akan mendapat diabetes mellitus jenis 2.
KOMPLIKASI KESIHATAN YANG BERKAITAN DENGAN OBESITI
- Masalah psikologi
- Osteoarthritis of knees and hips
- Varicose veins
- Hiatus hernia
- Batu hempedu
- Komplikasi pembedahan
- Back strain
- Accident proneness
- Obstructive sleep apnoea
- Darah tinggi
- Sesak nafas
- Sakit jantung iskemia
- Strok
- Diabetes mellitus jenis 2
- Hiperlipidemia
- Ketaknormalan haid
- Meningkatkan morbiditi dan mortaliti
- Meningkatkan risiko kanser
- Kegagalan fungsi jantung
Maknanya di sini, pihak kerajaan, ahli-ahli perubatan dan seluruh anggota masyarakat perlu berganding bahu dan mengorak langkah yang lebih berfokuskan kepada pencegahan (prevention), dan sebaliknya bukan pembaikpulihan (cure). Daripada duit rakyat dibelanjakan untuk membina pusat dialisis dan klinik jantung, baik ia digunakan untuk pogram-pogram kesedaran kesihatan umpamanya. Saya berikan satu analogi yang cukup mudah:-
Kita menyalurkan air daripada paip ke dalam baldi. Sekiranya baldi itu sudah dipenuhi air. Adakah
- kita akan menambah baldi supaya air tidak melimpah jatuh membasahi lantai sebaliknya mengalir masuk kedalam baldi yang baru? ataupun,
- dengan mudah kita mengunci paip tadi supaya tidak terus memenuhi baldi?
Samalah halnya dalam situasi obesiti. Jika kita dapat mengurangkan kadar obesiti, maka, kita mampu mengelak daripada klinik-klinik dialisis dibanjiri dengan pesakit diabetes. Justeru, kerajaan tidak perlu mengeluarkan berjuta-juta ringgit duit rakyat semata-mata untuk membina lebih banyak klinik tersebut demi menampung bilangan pesakit yang kian meningkat. Dengan hal demikian, kita semualah yang bertanggungjawab dalam memastikan hidup sihat diamalkan.
PENCEGAHAN
Pesakit obesiti memiliki risiko yang tinggi untuk meninggal dunia, selalunya disebabkan oleh diabetes, penyakit jantung koronari dan strok! Semakin kritikal obesiti seseorang individu, semakin tinggi kadar morbiditi dan mortaliti. Daripada kajian yang diperolehi:
“Lelaki yang mempunyai berat badan 10% melebihi berat badan optimum mempunyai risiko kematian 13% lebih tinggi, manakala risiko kamatian untuk lelaki yang mempunyai berat badan 20% melebihi berat badan optimum adalah 25%. Peningkatannya lebih rendah di kalangan wanita, manakala bagi lelaki yang berusia lebih daripada 65 tahun, obesiti tidak menjadi faktor kematian.” – Clinical Medicine, Kumar & Clark, 7th Edition.
Maka, bagi individu yang mengalami obesiti adalah amat digalakkan untuk mengurangkan berat badan justeru dapat mengelakkan penyakit kronik dan seterusnya kematian.
| Mortaliti | 20-25% berkurangnya risiko kematian. |
| 30-40% berkurangnya risiko kematian berpunca daripada diabetes. | |
| 40-50% berkurangnya risiko kematian berpunca daripada kanser. | |
| Tekanan darah | Berkurang sebanyak 10 mmHg (systolic dan diastolic) |
| Diabetes | Risiko menghidap diabetes berkurang > 50% |
| Turunnya 30-50% gula dalam darah ketika berpuasa | |
| Turunnya 15% HbA1c | |
| Lipid serum | Turunnya 10% daripada kolesterol total |
| Turunnya 15% daripada kolesterol LDL (kolesterol jahat) | |
| Turunnya 30% daripada trigliserida | |
| Meningkatnya 8% daripada kolesterol HDL (kolesterol baik) | |
Seperti yang telah dijelaskan, pencegahan daripada obesiti sebenarnya yang perlu kita titik beratkan, kerana kebanyakan mereka yang obes, mengalami kesukaran untuk mengekalkan pengurangan berat badan. Berat badan mereka menjadi seperti yoyo, sekejap naik, dan sekejap turun. Sungguhpun begitu, ada juga yang berjaya mengurangkan berat badan ke tahap ideal. Secara realitinya, kita boleh lihat mereka yang menjadi peserta rancangan popular “The Biggest Loser.” Maknanya di sini, tidak mustahil orang yang obes boleh menjadi kurus, tatapi untuk menjadi kurus kembali adalah sesuatu yang sukar dan memerlukan kecekalan dan semangat yang jitu. Perlu diingatkan, menjadi kurus bukan untuk nampak cantik dan bergaya semata-mata, tetapi untuk sihat dan jauh daripada pelbagai penyakit, InsyaAllah.

Dalam agenda pencegahan, kita perlu membina lebih banyak pusat rekreasi dan sukan. Bukan sekadar itu, tetapi kita juga perlu memiliki strategi lengkap dalam menggalak lebih ramai untuk bersukan, berekreasi dan juga sedar peripenting dalam menjaga pemakanan dan kesihatan. Jangan biarkan situasi sekarang berlarutan berlaku, dimana, premis premis perniagaan ‘fast foods’ seperti, McDonald’s , KFC, PizzaHut, Carl’s Junior, dan Burger King banyak dibina, “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”, melebihi pembinaan pusat –pusat riadah yang berasaskan aktiviti fizikal.
Selain daripada itu, pengetahuan kesihatan perlu ditingkatkan di kalangan rakyat Malaysia. Antara lain, membanyakkan rancangan kesihatan yang disiarkan di televisyen, dan merangka silibus kesihatan di peringkat sekolah rendah mahupun menengah yang merangkumi gaya hidup sihat seperti yang dicadangkan oleh menteri kesihatan.
Secara kesimpulan, dalam siri artikel ini, yang berkisar tentang pengenalan terhadap obesiti, saya akan menjawab persoalan mengapa isu obesiti dianggap kritikal, dan kemudiannya saya menjelaskan sedikit sebanyak perihal dan peri penting pencegahan. Untuk artikel yang berikutnya, insyaAllah, saya akan berkongsi beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil dan dipraktikkan dengan harapan kita sama-sama dapat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati.”
“Dengan mempromosikan kesihatan kepada orang ramai, maka lebih ramai orang mencari kesihatan berbanding mencari perubatan.”







