Tag Archives: hukum bedah mayat

Hukum Autopsi Virtual Sebagai Alternatif Bedah Mayat

PENDAHULUAN:

Sekumpulan doktor forensik di Swiss telah menjalankan 100 autopsi (ujikaji post-mortem) mayat dalam masa setahun tanpa melakukan sebarang pemotongan terhadap mayat-mayat tersebut, sebaliknya menggunakan peralatan optik 3D yang berupaya mengesan 80% punca kematian.

Michael Thali, seorang professor di University of Berne, dan rakan-rakan sepasukannya telah membangunkan suatu sistem yang dikenali sebagai virtopsi (virtual autopsy) sejak tahun 2006, yang digunakan untuk mengesan punca-punca kematian mengejut dan kematian yang tidak semulajadi.

“Tanpa melakukan sebarang pemotongan ke atas mayat, kami dapat mengesan 60-80% kecederaan dan punca kematian,” katanya.

Dalam proses virtopsi, yang mengambil masa selama lebih kurang 30 minit, mayat diletakkan di atas meja ujikaji dan pengimbas CT (CT scan) yang dikawal secara robotik akan mengimbas seluruh kontur badan mayat. Seterusnya, penemuan akan diteliti melalui komputer. Pengimbas CT dapat menghasilkan imej-imej yang baik untuk kecederaan skeletal, manakala pengimbas magnetik (MRI scan) menghasilkan imej-imej untuk kecederaan ligamen, tendon dan tisu-tisu lembut yang lain.

“Itulah kebaikan terbesar, kerana anda tidak melakukan sebarang kerosakan pada mayat, malah masih mampu melihat ke dalam badan secara 3D sambil melakukan analisis.”

Walaupun pengimejan 3D telah bermula sejak pertengahan 1990an, namun kajian tentang penggunaan peralatan tersebut untuk ujikaji post-mortem baru sahaja bermula sekitar tahun 2006.

“Pada masa ini, autopsi biasa, yang merupakan prosedur yang sangat lama, masih menjadi standard yang diguna pakai untuk mengesan punca kematian. Virtopsi boleh digunakan untuk mengesan kecederaan daripada kemalangan,” tambahnya. “Tapi bukan untuk selesema burung.”

SOALAN:

“Apakah hukum melakukan autopsi virtual (virtopsi) ke atas mayat sebagai alternatif kepada bedah mayat?”

JAWAPAN:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 – 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat. Muzakarah telah memutuskan bahawa: “Penggunaan kaedah Autopsi Maya (Virtual Autopsy) dalam bedah siasat mayat jika memenuhi keperluan, wajib diberi keutamaan berbanding kaedah bedah siasat yang diamalkan sekarang.”

HUJAH:

1.  Kaedah ini merupakan kaedah teknologi pengimejan yang biasanya dilakukan ke atas pesakit hidup sebagai salah satu prosedur pemeriksaan atau mengesan suatu penyakit seperti ketumbuhan, kanser dan sebagainya. Kaedah yang sama boleh lakukan ke atas mayat yang bertujuan mengenal pasti punca kematian tanpa menyentuh mayat tersebut.

2.  Autopsi maya / virtual mempunyai kelebihan terutama dalam menyiasat kes-kes jenayah yang memerlukan bukti asal pada tubuh mayat tanpa sebarang perubahan atau tercemar disebabkan prosedur pembedahan klasik yang diamalkan sekarang.

3.  Kombinasi sistem 3D Computed Tomography (CT) dan teknik Imejan Resonans Magnetik atau magnetic resonance imaging (MRI) yang dibangunkan ini dikenali sebagai ‘Virtopsy’. Ia menggunakan 7.0-Tesla magnet ke atas mayat berbanding 1.5 atau 3.0-Tesla magnet yang digunakan ke atas pesakit hidup. Kadar radiasi tinggi yang digunakan ke atas mayat membolehkan imej yang dihasilkan lebih bermutu. Imej yang dihasilkan dari kaedah ini membolehkan mayat diperiksa dari pelbagai sudut yang dikehendaki tanpa memusnahkan bukti-bukti forensik yang diperlukan. Malah penelitian, pengamatan dan pemeriksaan ini boleh dilakukan secara terperinci dengan melakukan pemotongan secara maya dan boleh disaksikan berulang-ulang kali. Ini adalah di antara kelebihan autopsi digital berbanding dengan autopsi klasik yang mempunyai beberapa limitasi seperti masalah pemerhatian tunggal yang hanya terhad kepada pakar forensik yang terlibat dengan bedah siasat dan pembentukan semula organ atau tisu yang diawet yang mungkin merubah bukti forensik.

4.  Islam mengajar agar umatnya memuliakan orang-orang yang telah meninggal dunia. Melakukan kemudaratan yang boleh mencacatkan fizikal orang yang telah meninggal dunia merupakan satu penganiayaan dan pencerobohan ke atas maruah serta kehormatan mayat. Oleh yang demikian, autopsi terutama autopsi klasik adalah satu bidang medikal yang dianggap sensitif bukan sahaja dari segi agama tetapi juga oleh budaya masyarakat negara ini.

5.  Islam berpegang kepada prinsip bahawa jasad seorang yang telah meninggal dunia tetap mempunyai kemuliaan, nilai dan hak kemanusiaan yang wajib dihormati dan dipelihara sepertimana orang yang masih hidup.

6.  Hadis Rasulullah SAW yang melarang menyakiti mayat:

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Imam Ahmad: Daripada Saidatina Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya.”

7.  Berdasarkan kepada keupayaan dunia perubatan semasa, kebanyakan ulama’ di seluruh dunia Islam mengharuskan bedah siasat mayat dalam keadaan darurat. Jumhur fuqaha’ kecuali Mazhab Hambali berpandangan bahawa harus membedah mayat ibu hamil demi menyelamatkan nyawa bayi yang dipercayai masih hidup dalam kandungan.

8.  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-8 yang telah bersidang pada 24- 25 September 1984 telah membincang mengenai hukum bedah siasat dan memutuskan bahawa: “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post-mortem atau si mati tertelan benda yang sangat berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan anaknya dalam kandungan masih hidup.”

Dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan bahawa: “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenal pasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”

9.  Menyeksa mayat memang diharamkan oleh Islam. Sekiranya ada kaedah lain dalam bedah siasat mayat yang lebih baik, kaedah tersebut elok digunakan. Penemuan kaedah autopsi maya / virtual sekiranya setanding dengan kaedah bedah siasat mayat atau post-mortem sedia ada, memberi gambaran bahawa bedah siasat bukan lagi satu-satunya prosedur yang boleh digunakan untuk mencari punca kematian, mengkaji penyakit atau tujuan pembelajaran. Ini bermakna autopsi klasik bukan lagi darurat. Jika autopsi maya / virtual diterima sebagai alternatif atau pelangkap kepada bedah siasat mayat sedia ada, kaedah ini sepatutnya menjadi keutamaan.

Wallahua’lam.

 

RUJUKAN

1.  Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-menggunakan-kaedah-autopsi-maya-sebagai-alternatif-kepada-bedah-siasat-mayat

2.  Virtopsy: Autopsy Without the Scalpel. http://www.telegraph.co.uk/expat/expatnews/6654975/Virtopsy-autopsy-without-the-scalpel.html

PAUTAN

1.  Hukum Bedah Siasat Mayat Untuk Forensik dan Pembelajaran

Hukum Bedah Mayat Untuk Forensik dan Pembelajaran

SOALAN:

Apakah hukum melakukan pembedahan ke atas mayat samada untuk tujuan forensik ataupun pembelajaran?

JAWAPAN:

Dinyatakan di sini bahawa Lembaga Ulama Besar Kerajaan Arab Saudi telah membincangkan isu ini dan bagi mereka isu ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

1.  Pembedahan mayat untuk tujuan forensik iaitu mencari bukti tentang perlakuan sesuatu jenayah.

2.  Pembedahan mayat untuk tujuan mengesan penyakit berjangkit bagi mencari langkah-langkah yang boleh mengawasinya.

3.  Pembedahan mayat untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran.

Setelah mengadakan perbincangan dan kajian mendalam dalam isu ini, majlis memutuskan sebagaimana berikut:

Bahagian yang pertama dan kedua, majlis mengharuskannya kerana mengandungi maslahat yang besar kepada lapangan keselamatan, keadilan dan penjagaan masyarakat daripada penyakit berjangkit. Kerosakan akibat pencerobohan kehormatan jenazah yang dibedah, tenggelam dalam kepentingan yang besar dan umum, yang terdapat di sebaliknya.

Dan bahagian yang ketiga, majlis telah memperakui dengan sebulat suara tentang keharusan melakukan pembedahan untuk tujuan pembelajaran. Ini memandangkan syariat yang datang dengan tujuan menghasilkan maslahat dan memperbanyakkannya dan membendung kerosakan dan mengurangkannya. Juga bertujuan melakukan salah satu daripada dua bentuk kemudaratan yang lebih ringan dengan menghilangkan kemudaratan yang lebih besar. Tambahan pula, pembedahan yang dilakukan ke atas binatang tidak mencukupi untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran untuk pembedahan manusia. Pembedahan yang dilakukan ke atas manusia mendatangkan banyak maslahat, iaitu memajukan lapangan sains perubatan lagi.

KEPUTUSAN FATWA

Fatwa tentang bedah siasat mayat:

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post-mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.” – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989.

Dan berhubung bedah siasat mayat yang kematiannya bukan dikategorikan sebagai kes jenayah:

“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenal pasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.” – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004.

ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT DARI PERSPEKTIF ISLAM

1.  Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.

Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” – Al-Israa’: 70.

2.  Menyegerakan urusan bedah siasat mayat.

Ini selaras dengan kehendak syara’ yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu.” – Riwayat Muslim.

3.  Kebenaran Waris.

Bagi kes-kes bedah siasat klinikal (bahagian 2 dan 3 di atas), Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.

Bagi kes-kes bedah siasat medikolegal (bahagian 1 di atas), kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4.  Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar).

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Dari Aisyah r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya/mematahkannya sewaktu hidupnya.” – Riwayat Abu Daud.

5.  Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja.

Bedah siasat mayat tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh yang demikian, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenal pasti sebab-sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.’

6.  Menjaga aurat mayat.

Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu nyatakan (perlihatkan) pahamu,dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati.” – Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

7.  Menjaga rahsia mayat.

Tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

8.  Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat.

Tidak boleh menghina,mencemuh atau memaki mayat sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.” – Riwayat At-Tirmizi.

9.  Mengambil langkah-langkah keselamatan.

Langkah-langkah keselamatan perlulah diambil terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko seperti dalam kes-kes penyakit berjangkit.

10.  Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya.

11.   Tidak mengambil tisu atau organ mayat.

12.  Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

Wallahu’alam.

 

RUJUKAN:

1.  Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan; Isu-Isu Fiqh Perubatan Semasa; Al-Hidayah Publication; 2007: 270-271.

2.  Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam. http://www.islam.gov.my/garis-panduan-bedah-siasat-mayat-menurut-perspektif-islam

3.  Post-Mortem Mayat. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/post-mortem-mayat

4.  Hukum Bedah Siasat Ke Atas Mayat yang Bukan Dikategorikan Kematian Kerana Kes Jenayah. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-bedah-siasat-ke-atas-mayat-yang-bukan-dikategorikan-kematian-kerana-kes-jenay