Tag Archives: hipertensi

5 Faktor Risiko Penyebab berlakunya Penyakit Jantung

sakit dada sakit jantung

Dalam entri yang lepas, saya ada menceritakan 5 tanda-tanda menunjukkan anda mengalami penyakit jantung. Dan pada entri kali ini, saya akan menerangkan 5 faktor yang meningkatkan risiko untuk anda mendapat penyakit jantung. Faktor-faktor yang dinyatakan sememangnya boleh dikawal dan ia bergantung kepada diri kita untuk menjaga tahap kesihatan.

1. Penyakit Diabetes Mellitus atau Kencing Manis.

Nah, semestinya kita sudah sedia maklum dengan penyakit ini. Ia disebabkan paras gula di dalam darah terlalu tinggi. Rata-rata pesakit mendapat diabetes mellitus jenis 2 di mana paras glukosa tinggi disebabkan faktor, kegemukan dan pemakanan yang tinggi karbohidtrat. Faktor-faktor ini boleh dikawal sebenarnya. Anda perlu menjaga pemakanan anda dengan teliti, sebaiknya kurangkan makan makanan yang tinggi karbohidrat dan minuman yang mengandungi susu. Sebagai contoh, gantikan sarapan anda dengan memakan bijirin oat, ataupun roti gandum. Makanan sebegini merupakan sumber karbohidrat yang mempunyai indeks glukosa yang rendah dalam darah. Dari segi minuman, anda dinasihatkan untuk mengurangkan minuman yang mempunyai susu seperti teh ais, milo ais dan sebagainya. Perbanyakkan minum air putih. Tetapi sekiranya anda jenis yang suka minum air manis, saya sarankan banyakkan minum air jus buah atau minum teh o ais sahaja.

2. Penyakit darah tinggi atau hipertensi

Penyakit darah tinggi dan juga kencing manis boleh dikatakan seperti adik beradik. Pesakit jantung jika ditanya, mereka pasti  mempunyai sejarah kencing manis dan darah tinggi ataupun salah satu darinya. Jika bacaan tekanan darah anda 140/90, anda haruslah sentiasa menjaga pemakanan anda. Penyakit ini juga sering dikaitkan dengan stres. Anda perlu mencari jalan untuk cuba mengurangkan stres anda. Sentiasa berlapang dada dan tenang dalam menghadapi apa jua jenis masalah. Jangan jadikan keturunan sebagai punca anda untuk tidak mengawal tekanan darah tinggi anda. Dari segi pemakanan, cuba kurangkan makan makanan di luar. Sebaiknya makan makanan masakan rumah. Ini kerana di rumah anda boleh tahu kandungan apa yang elok dan kandungan apa yang tidak elok untuk badan. Untuk kes ini, kurangkan kandungan garam dalam makanan.

3. Merokok

Bukan sahaja penyakit jantung, malah segala macam jenis penyakit boleh berlaku sekiranya anda merokok. Sekiranya anda perokok tegar, cuba kurangkan dari segi kuantiti batang rokok dalam sehari. Sekiranya anda merokok 15 batang sehari, kurangkan kepada 10 batang sehari. Anda tidak digalakkan untuk berhenti secara mendadak kerana ini akan menyebabkan anda kembali merokok semula.

4.  Tinggi kolesterol

Orang yang obes pastinya mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi. Sekiranya anda ingin mengurangkan berat, saya sarankan untuk anda mengurangkan kandungan karbohidrat dalam makanan. Jika dulu anda mengambil nasi sehingga satu pinggan penuh, kali ini kurangkan kepada separuh dan separuh lagi anda penuhkan dengan lauk-pauk.

5. Alkohol

Pengambilan alkohol yang berlebihan juga merupakan antara faktor utama penyebab penyakit jantung. Bukan setakat itu sahaja alkohol juga boleh merosakkan hati dan menyebabkan ascites(perut kembung air) dan juga jaundice(mata kuning). Dalam Islam juga melarang kita untuk mengambil alkohol. Selain daripada hilang kewarasan akal dan pertimbangan, penyakit-penyakit kronik lain juga boleh berlaku disebabkan pengambilan alkohol.

Ini merupakan antara faktor-faktor utama penyebab penyakit jantung. Dan faktor-faktor ini dikenal sebagai faktor boleh kawal. Faktor-faktor yang tidak dapat dikawal ialah sejarah penyakit jantung keluarga, umur melebihi 55 tahun, lelaki dan sebagainya. Budaya di Malaysia sendiri pada pendapat saya antara penyebab utama wujudnya penyakit-penyakit seperti ini.

Untuk mengamalkan cara hidup sihat saya tahu bukannya mudah. Terutamanya dari segi pemakanan. Dari segi sukan, mungkin kita mempunyai kesedaran yang tinggi. Adakah kita perlu terhantuk dulu baru terngadah? Fikir-fikirkan dan renung-renungkan.

Baca artikel-artikel di bawah untuk lebih memahami setiap faktor risiko penyakit jantung.

  1. Kenali Mekanisma dan Rawatan Tinggi Kolesterol
  2. 13 Tips Berhenti Merokok Dengan Berkesan
  3. Simptom, Komplikasi dan Rawatan Kencing Manis
  4. Tekanan Darah Tinggi, Sejauh Mana Risiko Anda?