Perbalahan Ulama: Apa Perlu Kita Buat

“Gajah sama gajah bergaduh, kancil di tengah mati tersepit”,

$1.99/Mo. for 3 month of Economy Hosting at GoDaddy.com

Barangkali itulah satu perumpamaan Melayu lama yang boleh kita kiaskan di dalam perbalahan para Ulama yang sudah semakin hebat sekarang ini.

Jika mahu dilihat keadaan antara ulama berdebat kala ini, orang awam semakin pening dan pening memikirkan mana yang betul dan mana yang salah.

Sudah beberapa hari, saya diajukan soalan di lokasi ceramah yang saya hadiri mengenai perkara ini. Itu tidak termasuk dengan melalui telifon, sms, email dan sebagainya.

Mereka semua bertanyakan mengenai perbalahan tokoh-tokoh agama di Malaysia yang sedang memuncak akhir-akhir ini.

Kadang-kala, terjadi perbahasan ini di akhbar, di tv dan radio, dengan lambakan kitab yang berjela, hanya kelihatan ingin memperkatakan bahawa “hujah saya lebih kuat”

Sebenarnya, medan berperang hujah siapa lebih kuat, bukan berlaku di Negara kita ini sahaja. Ia telah berlaku di Negara-negara Arab.

Ini berlaku apabila ada sesetengah tokoh yang mengatakan hujah mereka lebih kuat, ketika aliran itu dan ini mengatakan hujah mereka lebih kuat, dihujungnya, bukan ada jalan penyelesaian, tetapi sudah mula menghentam peribadi,

“Anta Syaitoon” (kamu Syaitan)

“Anta Ibn Kalb” (kamu anak anjing)

dan lain-lain lagi.

Percaya atau tidak, di Malaysia, hujung perbalahan ini, akan jadi perkara yang sama dan saya telah mula mendengarnya.

Di mana punca semua perkara ini?

Pada saya, punca semua perkara ini apabila seseorang itu mempelajari ilmu tetapi, kurang di dalam mendalami adab

Ilmu tanpa adab akan membuatkan seseorang itu, saling menyalahkan orang sana dan sini.

Telah puluhan tahun masjid India berada di Negara kita, mengekalkan amalan melalui mazhab Hanafi, tidak membaca qunut di waktu subuh, tetapi tidak pernah timbul isu sehebat seperti ini. Tidak ada tok-tok guru pondok melenting dengan kewujudan masjid India.

Kenapa? Kerana mereka semua mempunyai ilmu dan mempunyai adab.

Tapi kenapa, sekarang ini, perkara qunut dan sebagainya dijadikan isu yang besar sehingga membabitkan orang awam?

Ini kerana, tokoh yang membicarakannya, dibahaskan dengan agak emosi, menghentam sana dan sini. Merendahkan sana dan sini hingga kepada merendahkan institusi fatwa.

Yang menang nanti bukannya A, yang menang bukan B, yang menang syaitan kerana berjaya memecah belahkan kesatuan umat Islam. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa, kalau tanpa rahmat Allah, pasti kita akan tertipu dengan syaitan ini :-

Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri , Kalau tidaklah karena karunia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).

(surah an-Nisa ayat 83)

Jadi, macam mana ubat bagi perselisihan ini. Allah s.w.t telah menyatakan di dalam al-Quran:-

Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (surah an-Nisa ayat 59)

Jika orang awam berselisih, maka hendaklah kita merujuk pada Ulama’. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa:-

Dan tidak ada selain ulama’ yang tahu bagaimana untuk balik pada al-Kitab dan al-Sunnah, maka berdasarkan perkara ini, bertanya sesuatu persoalan pada ulama’ itu hukumnya wajib.

Telah berkata Sahl bin Abdullah r.a, akan sentiasa manusia ini berada di dalam kebaikan selagi mereka memuliakan pemimpin (yang adil) dan ulama’. Jika mereka memuliakan kedua ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Jika mereka berpaling dari kedua ini, maka rosaklah dunia dan rosaklah akhirat.

Tafsiran ini ialah apabila, kita orang awam berbalah. Bagaimana pula jika Ulama’ berbalah?

Di dalam kitab tafsir al-Tabari, ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa:-

“Maka jika para ulama’ itu berselisih, kembalikannya pada Allah dan Rasul”

Jadi, apabila kedua-dua pendapat ada hujah, ada dalil-dalil, maka hendaklah merujuk kepada adab di dalam perselisihan seperti yang Nabi ajarkan.

Adab perlu diutamakan. Janganlah mula memperkecilkan orang sana dan sini seolah-olah kita sahaja betul.

Jangan ajak orang awam di dalam kancah khilaf ini. Jika mahu bermuzakarah, adakan di dalam majlis yang dihadiri oleh orang yang berilmu.

Jangan lambakkan di dalam tv dan radio serta akhbar. Orang awam yang tak tahu menahu akan pening mengikuti permasalahan ini.

Jangan diajak masyarakat awan di dalam kancah perbalahan emosi. Mereka perlu pembimbing yang mengajar mereka mendekatkan diri pada Allah.

Jika ini berlaku, kita khuatir, Allah akan cabut petunjuknya, ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, hadis no 3253, Rasullullah bersabda:-

“Tidaklah sesat sesuatu kaum itu setelah mereka mendapat hidayah melainkan orang yang suka bertengkar”

Jadi, apa sepatutnya yang perlu dibuat?

Berikan alternatif yang betul dan boleh diterima. Sebagai contoh, Jika kita menerima tahlil itu ada, maka ajar masyarkat buat dengan sebaik-baiknya.

Kalau kita menerima tahlil itu tidak ada, maka jika ada orang mati, ajarkan apa yang perlu mereka buat. Berikan alternatif kepada masyarakat.

Tak perlu kita perlecehkan pula amalan itu, lebih-lebih lagi kita mengatakan peristiwa-peristiwa terpencil untuk mengukur semua majlis tersebut :-

“Ni buat tahlil ni, nak tunjuk sapa terror masak lah ni”

“Ni datang kenduri ni, sebenarnya nak makan lah ni”

“Ni datang kenduri, habis tahlil, bual pasal dunia, sia-sia saja”

“Imam baca tahlil memang rajin, sebab balik dapat salam cangkuk (dapat duit)”

Kalau itulah permasalahannya, ubat kelemahan itu. Baiki kelakuan masyarakat yang lemah. Bukan perleceh dan rendah-rendahkan semua perkara itu.

Apapun, saya mengajak semua pembaca yang tidak mampu mengikuti perbahasan antara Dr. Asri, Ustaz Uthman Muhammadi, para Mufti kita dan lain-lain tokoh besar untuk lebih bersabar dan bertenang.

Kembali kepada ilmu dan adab-adabnya.

Dengan adablah, ilmu yang ada semakin menghampirkan diri pada Allah. Jika tidak, semakin alim, semakin tidak tawadhuk, semakin bongkak, semakin salah menyalah, semakin memperlekehkan orang lain.

Apa nilaian kita di sisi Allah, jika semakin tahu sesuatu perkara, semakin bongkak?

Sesungguhnya, hebatnya seseorang itu dengan ilmunya, dan hebatnya ilmu dengan adab, kerana, ilmu bersama adab akan melahirkan keberkatan kepada ilmu itu”

Akhir bicara :-

“Allahumma, Allimnal-Adab” (Ya Allah, ajarkan kami adab)

 

“Sekilas itu realiti, Realiti itu kehidupan”

Al-Fakir Ila Rabbihi Muhamad bin Abdullah

*dipetik dari www.ustazamin.com

50% off Hosting for your Website at GoDaddy.com!

Leave a Reply