Cegah Kanser Servik Sebelum Ia Menyerang Anda!

$1.99/Mo. for 3 month of Economy Hosting at GoDaddy.com

 

Apakah itu kanser servik?

Kanser serviks berlaku apabila sel yang tidak normal membesar dan merebak ke kawasan servik iaitu pangkal rahim wanita. Kanser servik  merupakan pembunuh no 2 kanser selepas kanser payudara di Malaysia. Apa yang unik daripada kanser-kanser yang lain ialah kanser servik  ini lebih disebabkan oleh virus. Sekiranya kita dapat mengenal pasti dengan lebih awal ia dapat diselamatkan.

Tanda-tanda atau simptom-simptom kanser servik.

Pada awal pembentukan sel-sel kanser tersebut, ia jarang menunjukkan tanda-tanda. Tetapi apabila ia semakin berkembang, simptom-simptomnya termasuklah:

  • Lendir yang terkeluar daripada vagina. Lain daripada biasa.
  • Pendarahan rahim antara ‘period’
  • Pendarahan selepas menopaus.
  • Pendarahan ketika melakukan hubungan kelamin.

Punca utama kanser servik: HPV

Human papillomavirus (HPV) adalah satu kumpulan besar virus. Terdapat 40 jenis yang dapat menjangkiti bahagian genital dan sesetengahnya mempunyai risiko yang tinggi untuk menyebabkan penyakit kanser serviks.

Biasanya HPV genital akan sembuh dengan sendirinya. Tetapi apabila ia sudah menjadi kronik, ia akan menyebabkan perubahan pada sel-sel di bahagian serviks dan perubahan sel ini akan membawa kepada kanser serviks. Hampir 90% yang mengalami kanser serviks adalah disebabkan jangkitan HPV.

Siapakah yang mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan HPV?

Jangkitah HPV biasanya berlaku kepada wanita yang pernah dan sering melakukan seks. Disebabkan jangkitan HPV boleh berlaku secara senyap, ia mungkin berada di bahagian serviks bertahun lamanya sejak anda melakukan seks. Kemungkinan akan bertambah apabila anda melakukan seks dengan berlainan pasangan.

Juga apabila anda melakukan seks dengan pasangan anda yang mempunyai pasangan seks yang lain. Ia tidak hanya berlaku kepada perempuan sahaja, lelaki turut mempunyai risiko yang sama untuk mendapat jangkitan HPV. Jangkitan HPV juga mempunyai kaitan dengan kanser di bahagian vulva, vagina, penis, anal dan juga oral untuk kedua-dua jantina.

Bagaimana jangkitan HPV boleh menyebabkan kanser servik?

Apabila terdapat jenis jangkitan HPV meliar di serviks, ia akan menyebabkan pembentukan sel yang tidak normal di servik. Perubahan itu akan menukarkan sel-sel serviks kepada perubahan pre-kanser. Pada waktu ini anda masih belum mendapat kanser lagi. Tetapi dengan berlalunya masa, ia akan membentuk sel kanser. Apabila ia telah wujud, kanser ini akan tumbuh dan merebak ke serviks dan kawasan sekitarnya.

Apakah risiko lain untuk mendapat kanser servik?

Antara risiko lain adalah

  • Merokok
  • Alkohol
  • Mempunyai anak yang ramai.
  • Menggunakan pil perancang kehamilan pada jangka masa yang lama.
  • HIV positif atau mempunyai sistem imun yang lemah

Pengesanan awal. Lakukan ujian ‘Pap smear’

Ujian Pap smear merupakan antara salah satu cara saringan yang membantu mengenal pasti potensi sel-sel serviks untuk bertukar menjadi sel kanser. Ujian ini mampu mengenal pasti peringkat awal sel-sel tersebut mengalami perubahan sebelum ia menjadi kanser lagi. Wanita seharusnya memulakan ujian Pap smear selepas 3 tahun melakukan aktiviti seks.

Berapa kerap untuk anda melakukan ujian ini bergantung kepada keputusan ujian yang anda telah terima, faktor-faktor risiko dan juga masalah kesihatan yang anda hadapi. Biasanya untuk wanita biasa 3 tahun sekali adalah memadai. Tetapi untuk wanita yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan HPV, setahun sekali perlu dilakukan.

Apakah yang akan berlaku jika keputusan ujian Pap Smear tidak normal?

Apabila keputusan menunjukkan sel-sel serviks anda tidak normal. Anda mungkin perlu melakukan sekali lagi ujian Pap smear. Dan kemudian doktor anda mungkin akan melakukan prosedur kolposkopi di mana serviks perlu dilihat dengan lebih jelas menggunakan sejenis alat seperti mikroskop. Di situ doktor akan melihat bahagian mana yang nampak abnormal daripada biasa dengan menggunakan acetic acid 0.03% dan juga iodine.

Biopsi tisu serviks akan di ambil untuk dihantar ke makmal untuk memastikan ia bukannya sel kanser. Sekiranya sel tersebut pre-kanser, tisu tersebut akan dibuang.

Tahap Kanser Serviks

Kanser serviks mempunyai 4 tahap.

  1. Tahap 0 menunjukkan sel kanser hanya berada di permukaan serviks sahaja.
  2. Tahap 1 apabila kanser tersebut merebak di luar serviks di mana ia menyerang tisu-tisu di sekelilingnya.
  3. Tahap 2 menunjukkan kanser tersebut sudah menyerang ke bahagian atas vagina.
  4. Tahap 3 menunjukkan kanser tersebut menyerang ke bahagian bawah vagina dan menyekat saluran kencing.
  5. Tahap 4 kanser tersebut sudah merebak ke organ yang lain seperti rektum, pundi kencing dan juga organ-organ yang lain.

Rawatannya adalah dengan pembedahan

Apabila kanser tidak berkembang melebihi tahap II, pembedahan biasanya disyorkan untuk membuang mana-mana tisu yang mempunyai kanser. Biasanya ia melibatkan pembedahan yang dipanggil histerektomi, di mana serviks dan uterus bersama dengan tisu-tisu di sekelilingnya akan dibuang. Pakar bedah juga mungkin akan membuang tiub fallopian, ovari, nodus limfa yang berdekatan dengan tumor.

Rawatan Radiasi

Terapi radiasi menggunakan tenaga tinggi X ray untuk membunuh sel kanser di kawasan berkenaan. Ia juga membantu memusnahkan sel kanser yang tertinggal selepas pembedahan.

Kesan sampingan radiasi biasanya kurangnya sel darah, rasa lemah, ketidakselesaaan pada perut, hilang selera makan, kurang berat badan, loya dan juga muntah.

Rawatan Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat untuk menyerang sel kanser di mana sahaja ia berada. Apabila kanser serviks telah merebak ke organ-organ yang lain, kemoterapi akan menjadi pilihan utama. Bergantung kepada jenis ubat dan dos, kesan sampingan mungkin termasuk lemah, mudah luka, gugur rambut, loya dan muntah dan juga hilang selera makan.

Mengatasi kesan sampingan rawatan kanser

Rawatan kanser akan menyebabkan anda tidak bermaya dan juga tidak mempunyai selera makan. Tetapi ia adalah sangat penting untuk anda mengekalkan kalori supaya berat badan anda tidak turun. Berjumpa dengan pakar pemakanan dalam mengetahui tips pemakanan ketika mengalami rawatan kanser.

Sentiasa aktif juga sangat penting. Senaman ringan mampu meningkatkan tenaga anda dan mengurangkan stres. Periksa dengan doktor untuk mengetahui senaman apa yang sesuai dengan keadaan anda.

Cegah Kanser Serviks dengan Vaksin.

Terdapat vaksin yang mampu mencegah kanser serviks yang berkaitan dengan jangkitan HPV. Vaksin tersebut adalah Cervarix dan Gardasil yang memerlukan 3 dos dalam masa 6 bulan. Kajian telah menunjukkan vaksinasi adalah efektif dalam mencegah jangkitan kronik yang melibatkan HPV yang menyebabkan 70% daripada kanser serviks. Gardasil juga melindungi 2 jenis HPV yang menyebabkan ketuat di bahagian genital.

Dos pertama: Ketika di sekolah atau di klinik.
Dos kedua : Satu bulan selepas dos pertama.
Dos ketiga: 6 bulan selepas dos pertama.

Siapa yang harus mendapatkan Vaksin HPV?

Vaksin ini hanyalah sebagai langkah pencegahan dan bukannya merawat. Ia akan menjadi paling efektif apabila dilakukan apabila sebelum individu tersebut aktif secara seksual. Di negara kita, vaksinasi ini dilakukan seawal umur 13 tahun.

Kepada kanak-kanak perempuan yang berumur 13 tahun, mereka boleh mendapatkan vaksin ini secara percuma di sekolah-sekolah dan juga klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kepada wanita dewasa, anda juga boleh mendapatkan vaksin ini di klinik ataupun hospital dengan bayaran tertentu.

50% off Hosting for your Website at GoDaddy.com!

7 thoughts on “Cegah Kanser Servik Sebelum Ia Menyerang Anda!

  1. Nora

    Doc, sy mohon copy ye.. (minta maaf dah tercopy dulu baru nak bg tau)..
    nk tanya sikit.. kalau wanita belum berkahwin mengalami heavy period, iaitu darah haid y keluar amat banyak dan mengalami pendarahan diantara waktu “period” adakah tu juga merupakan kanser / tanda2 awal kanser serviks?

    Reply
    1. Hidayat Shariff Post author

      kanser serviks biasa berlaku kepada golongan yang sudah berumur. Kerana virus HPV mengambil masa yang lama untuk diaktifkan menjadi kanser. sekiranya terdedah pada seks pada usia yang sangat muda. kemungkinan itu ada.

      sekiranya saudari masih muda. kanser serviks sukar untuk berlaku. terdapat faktor lain yang mungkin menyebabkan heavy period seperti masalah dinding uterus yang semakin tebal atau masalah ovari.

      Reply
  2. khai

    oleh kerana kanser servik di sebabkn sekranya pernah melakukan hbngan sex, sepatutnya yg wajar ambilk dos bukan pelajar pmpuan, tetapi lelaki. akhirnya dlam apa jua kes, selalunya wanita/perempuan yg jadi mangsa shigga kn kes kanser sevik pn ,prempuan di”korbankn” dlam menyelesaikn rawatan keatas pesakit kanser servik.  Perhaps, hidayat shariff yg bakal jadi doktor, wajar mencari alternatif lain dlm mencari jalan pnyelesaian yg lebih adil/mudah dlm pnyakit ini…… mybe, lelaki wajar diajar cara lebih baik mencuci anggota sulit mereka agar kuman2 tidak bersemayan lama di situ………..

    Reply
  3. Masazura82

    salam….saya mengambil suntikan perancang kehamilan selama 5 tahun dan selama itu saya tidak datang period….adakah itu boleh menyebabkan kanser

    Reply
  4. hani juliana

    assalamualaikum..bgaimana dgn gadis yg sudah melakukan seks pd usia muda iaitu sebelum berkahwin,boleh mengambil vaksin HPV?mohon tunjuk ajar..

    Reply
  5. min

    assalamualaikum… jika saya telah mengambil ujian pap smear dan ujian itu berbunyi
    ” epithelial cells abnormalities.Squamous cells: atypical squamous cells of undertermined significance(ASC-US)”
    adakah saya telah sah mendapat jangkitan, apakah jenis rawatan yang sesuai untuk saya..
    diharap saya mendapat jawapan secepat mungkin.

    Reply
  6. Anita Suria

    Saya seorang nurse yang telah bertugas di klinik kesihatan selama 25 tahun.
    pengalaman saya susah untuk mempromosikan pemeriksaan pap smear di kalangan
    masyarakat,mereka masih tidak faham tentang kepentingan melakukan Pap smear,malu adalah punca segala2nya…apa nasihat dan cadangan Tuan….Anita suria (warga kesihatan)

    Reply

Leave a Reply