Category Archives: Tazkirah

Allah Turunkan Rahmat Qur’an

AL-QUR’AN SEBAGAI RAHMAT BAGI MUKMIN

Mukmin yang Harum Manis Bak Limau

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran adalah seumpama buah ‘peria pahit’, buah itu tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum, tetapi berasa pahit.” – Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah.

Hati Bagi Seorang Mukmin

Pesan Imam Al-Ghazali, “Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Qur’an. Tetapi jika tidak ditemui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak ditemui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika tidak ditemui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pintalah hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu sudah tidak mempunyai hati!”

Amalan Seorang Mukmin yang Lebih Afdhal

Aisyah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Membaca Al-Qur’an di dalam solat adalah lebih afdhal (berharga) daripada membaca Al-Qur’an di luar solat, membaca Al-Quran di luar solat lebih baik daripada tasbih dan takbir (memuji Allah), tasbih adalah lebih tinggi daripada sedekah, sedekah adalah lebih baik daripada puasa sunat dan puasa sunat adalah penghalang daripada api neraka.” – Riwayat Al-Baihaqi.

Nur Mukmin di Akhirat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.: “Barangsiapa mendengar satu ayat daripada Kitab Allah SWT, maka dicatatkan untuknya hasanah berganda, dan barangsiapa membaca satu ayat daripada Kitab Allah SWT, maka ayat itu merupakan nur baginya kelak di hari kiamat.”

Mukmin yang Diziarahi Makamnya oleh Malaikat

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Hai Abu Hurairah, pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah kepada manusia, dan hendaklah kau selalu begitu hingga datang maut menghampirimu dalam keadaan begitu maka para malaikat berduyun-duyun ke makammu sebagaimana orang-orang mukmin berduyun-duyun ke Baitullah al-Haram.”

Mukmin yang Bersama Para Malaikat

“Orang yang mahir (membaca, menghafal, memahami, tadabbur, dan mengamalkan) berinteraksi dengan Al-Qur’an akan bersama para malaikat yang mulia dan taat, sedangkan yang membaca Al-Qur’an dengan terbata-bata dan ia merasa sulit, ia mendapatkan dua pahala.” – Riwayat Muslim

Mukmin yang Diberi Rahmat

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu di antara mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya kecuali turun kepada mereka ketenangan yang diliputi rahmat, dikelilingi malaikat, dan Allah SWT menyebut-nyebut nama mereka di sisi makhluk yang ada dekat denganNya.” – Riwayat Muslim.

7 KELEBIHAN AL-QUR’AN

1.  Kalamullah yang tidak ada keraguan padanya.

“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” – Al-Baqarah: 2.

2.  Jaminan terpelihara.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” – Al-Hijr: 9.

3.  Mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW.

“ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” – Al-Baqarah: 23.

4.  Mudah difahami dan jelas maksudnya.

“Dan sesungguhnya telah Kami permudahkan Al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” – Al-Qamar: 17.

5.  Kitab yang syumul (lengkap) dari segala aspek.

“Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” – An-Nahl: 89.

6.  Sesuai untuk setiap zaman dan tempat.

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” – Riwayat Abu Daud.

7.  Kitab kemanusiaan dan kehidupan.

“ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” – Al-Baqarah:  185.

KENAPA MESTI TETAP MEMBACA WALAUPUN TIDAK MEMAHAMI?

Terdapat seorang lelaki tua yang tinggal di sebuah ladang di Kentucky, US dengan cucunya. Setiap pagi, Si datuk akan membaca Al-Quran di ruang dapur. Si cucu yang melihat, juga meniru perbuatan datuknya itu.

Satu hari si cucu bertanya kepada datuknya, “Atuk, saya baca Quran ini tapi tak fahamlah maksudnya.  Kalau faham pun saya akan lupa bila tutup Al-Quran. Jadi apa gunanya kita baca Al-Quran ini?”

Si Datuk lalu berpaling sebentar dan mendapatkan sebuah bakul yang kotor kerana diisi arang sebelumnya. “Nah, kau pergi sungai, bawak air dalam bakul ni.”

Si cucu pun bergegas ke sungai yang berhampiran dengan rumah mereka di ladang. Apabila pulang, tiada lagi air yang tinggal di dalam bakul tersebut.

“Kau lambat sangat, cuba lari laju-laju sikit.” Si cucu pun berlari ke sungai dan apabila tiba di hadapan datuknya, tiada juga air yang tinggal.

“Tak bolehlah, Atuk.”

“Cuba sekali lagi.” Kali ini datuknya melihat dari pintu. Si cucu pun cepat-cepat ke sungai dan berlari membawa bakul untuk ditunjukkan kepada datuknya. “Nampak tak Atuk? Tak boleh. Tak ada gunaya.” Bentak si cucu.

Si Datuk pun berkata, “Jadi kau rasa tak bergunalah? Cuba kau tengok bakul tu.”

Seperti baru tersedar, si cucu baru perasan yang bakul yang tadinya kotor, kini sudah bersih. Terus si datuk menyambung, “Macam itulah dengan membaca Al-Quran, walaupun tidak memahami maksudnya, tetapi ia tetap membersihkan si pembacanya. Itu semua dengan kehendak Allah. Kerja Allah SWT.”

PENUTUP

Edward Gibbon (1737-1794), seorang ahli sejarah Inggeris, yang mengkaji Al-Qur’an berdasarkan fahaman yang benar berkata mengenai Al-Qur’an seperti berikut:

“Al-Qur’an itu adalah sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan, persaudaraan dan perundangan. Al-Qur’an mengandungi isi yang lengkap, daripada urusan ibadat, akidah, akhlak hingga pekerjaan sehari-hari dan daripada urusan rohani hingga jasmani seterusnya. Ia juga menerangkan segala pembalasan atas amalan manusia. Sebab itu amat besar perbezaan Al-Qur’an dengan Bible. Dalam Bible, tidak ada peraturan yang berhubung keduniaan melainkan cerita untuk penyucian diri. Bible tidak boleh menandingi Al-Qur’an kerana Al-Qur’an bukan sahaja menerangkan kaitan amalan keagamaan, bahkan mengupas asas politik kenegaraan. Al-Qur’an menjadi sumber undang-undang dasar memutuskan semua perkara yang berhubung dengan material kejiwaan.”

RUJUKAN

1.  Fadha’il (Kelebihan/Keutamaan) Al-Qur’an. http://www.binamuslim.com/2007/10/11/fadhail-kelebihankeutamaan-al-quran.html

2.  Al-Qur’an dan Islam Dari Kacamata Barat. http://malay.bismikaallahuma.org/al-quran-dan-islam-dari-kacamata-barat/

3.  Terjemahan Al-Qur’an. http://quranterjemah.com/

Termakbulkah Doa Anda?

TERMAKBULKAH DOA ANDA?

Pernahkah kamu berdoa, tetapi merasakan doa kamu itu lambat dimakbulkan oleh Yang Maha Esa? Pernahkah kamu berdoa, tetapi terkadang yang kamu dapat berlainan dengan apa yang kamu impikan? Dan kamu tertanya-tanya mengapa Allah SWT menentukan sedemikian buatmu.

Di sinilah wujudnya rahsia di sebalik suatu doa, yang ingin saya kongsikan bersama-sama para pembaca sekalian.

Sebenarnya, doa-doa yang dipetik daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah memang banyak, tetapi untuk menghayatinya adalah suatu ibadat dan untuk memahami dan menyelami rahsia di sebaliknya memerlukan penghayatan yang tinggi.

Rahsia-rahsia doa terkandung dalam konteks siapakah yang berdoa, bagaimanakah penerimaan Allah akan doa kita, berapa lamakah kita menanti doa kita diterima Allah, kenapa doa kita ditolak, apakah penyebab yang menjadikan doa seseorang itu ditolak dan apakah pengajaran di sebalik doa tersebut.

KENAPA KITA KENA BERDOA?

Haa, kenapa ye? Kenapa ye kita selalu cakap, “Minta-mintalah…” atau pun “Harap-haraplah…”

Bibir kita tidak pernah lekang daripada menyebut kata-kata mengharap apabila kita memerlukan sesuatu. Sedar atau tidak, itu adalah doa yang kita panjatkan secara tidak langsung. Justeru, apakah pentingnya doa dalam kehidupan kita? Sebab apa ye kita kena berdoa?

Sebab, doa itu hakikatnya adalah luahan hati yang timbul dari jiwa yang meyakini wujudnya dua hakikat:

1.  Hakikat wujudnya Allah SWT yang merupakan sumber kesempurnaan, kegagahan, kekayaan dan kelimpahan yang tiada bandingannya.

2.  Hakikat wujudnya makhluk yang merupakan wadah kefakiran, keberhajatan, keperluan dan kedaifan.

Setuju tak?? =) Jadi, wujudnya Allah SWT adalah sebagai sumber bagi makhluk-makhlukNya yang amat memerlukanNya untuk mencapai hasrat dan kehendak mereka masing-masing. Atau dengan lebih tepat lagi, Allah SWT menciptakan makhluk-makhlukNYA sentiasa dalam keadaan yang sedemikian rupa supaya mereka tidak merasa bongkak dan lupa daratan, supaya mereka sentiasa berpaut kepada Allah SWT dan juga bersujud menyembah hanya kepadaNya dalam usaha mencari kesempurnaan hidup sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

TIPS-TIPS TENTANG CARA BERDOA

Setiap sesuatu mestilah mengikut saluran, jalan atau caranya yang betul. Begitulah halnya dengan berdoa. Ada cara-cara yang dapat anda semua lakukan agar doa anda itu mudah makbulnya di sisi Allah SWT. Antaranya:

1.  Bertaubatlah terlebih dahulu dengan membaca kalimat Al-Istighfar. Firman Allah SWT: “…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)

2.  Menadah tangan dan menghadap kiblat sewaktu membaca doa. Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kamu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu jika hamba-Nya sudah mengangkat tangan berdoa kepada-Nya lalu tidak diberi.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

3.  Mulakan doa dengan ta’awudz terlebih dahulu untuk mengelakkan kita daripada gangguan syaitan. Contohnya, “Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.”

4.  Mulakanlah doa kita dengan memuji Allah SWT dan akhirilah dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Doa tanpa memuji Allah SWT, tasbih dan selawat ke atas Nabi dikira gopoh dan tidak cukup sopan.

5.  Lontarkanlah suara kita antara suara terdengar dan suara yang agak perlahan.

6.  Harus yakin bahawa doa kita akan diperkenankanNya, jangan sekali-kali meragui kekuasaan Allah melayani permintaan hamba-hambaNya. Aamiin Allahumma Aamiin…

7.  Ulanglah doa kita berkali-kali dan bersungguh-sungguhlah dalam memintanya. Hendaklah dilakukan dengan penghadiran hati, rendah diri dan menjiwai kebesaran Allah SWT. SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakbar!

Moga-moga dengan mengikuti langkah-langkah ini, segala kata-kata, perlakuan dan tindakan kita semua dirahmati dan diredhaiNya. Aamiin… =)

SEBAB-SEBAB DOA SESEORANG TIDAK DIMAKBULKAN

Seterusnya kita masuk pula kepada sebab-sebab doa tidak dimakbulkan. Agak-agaknya kan, kenapa ye? Baiklah, secara ringkasnya yang dapat saya justifikasikan di sini, antara sebab-sebab doa seseorang tidak dimakbulkan adalah:

1.  Mereka berdoa dengan cara yang tidak pernah diajarkan oleh Allah SWT dan rasulNya. Maksudnya seseorang itu tidak mengikuti “cara-cara berdoa” yang telah saya tuliskan di atas.

2.  Selalu makan dan minum barang yang sudah pasti daripada sumber yang haram. Na’uzubillahi min dzalik. Bukankah Rasulullah SAW pernah menasihati Saad ibn Abu Waqqas yang bertanya tentang rahsia mustajab doa? Kata Baginda SAW yang bermaksud pilihlah barang-barang yang halal untuk dimakan dan digunakan, makanan yang haram hanya mendekatkan seseorang kepada api neraka.

3.  Mengenali Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hakNya. Antara hak Allah SWT yang perlu kita tunaikan adalah beribadat kepadaNya. Ibadat itu juga sebagai tanda kita bersyukur dan berterima kasih atas nikmat pemberianNya yang tidak terhingga kepada kita.

4.  Mengaku diri umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunnah Baginda SAW. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud barangsiapa yang tidak mengikut sunnah Baginda SAW bukanlah termasuk dalam golongan Baginda.

5.  Mengenali Al-Qur’an, tetapi tidak pernah melaksanakan isi kandungannya. Antara ciri-ciri orang munafiq adalah membaca Al-Qur’an, tetapi tidak mengamalkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.

Inilah sedikit-sebanyak sebab mengapa doa seseorang itu tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. Tetapi ini tidak bermakna jikalau doa kita tidak dimakbulkanNya bermaksud kita tergolong dalam golongan di atas. Mungkin saja doa kita tidak dikabulkanNya kerana Dia lebih memahami apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya atau mungkin saja doa kita belum dikabulkanNya kerana waktunya belum tiba lagi.

Saat itu, janganlah bersedih kerana Allah SWT rindu mendengarkan suara hamba-hambaNya yang beriman untuk terus meminta daripadaNya. Teruskanlah berdoa dan percayalah kepada janjiNya. =)

TEMPAT DAN WAKTU YANG TERBAIK UNTUK BERDOA

Pemilihan tempat dan waktu yang terbaik untuk berdoa juga penting dalam memastikan sampainya doa kita kepada Dia Yang Maha Kuasa.

Tempat:

1.  Ketika kita melihat Kaabah.
2.  Ketika kita melihat masjid Rasulullah SAW.
3.  Ketika berada di depan Kaabah.
4.  Ketika kita berada di Raudah (Masjid Nabi).
5.  Di belakang makam Nabi Ibrahim a.s.
6.  Di sisi perigi zamzam.
7.  Di atas Bukit Safa dan Marwah.
8.  Di padang Arafah.
9.  Di Muzdalifah.
10. Di Mina.
11. Di sisi jumrah yang ketiga.
12. Di masjid-masjid.
13. Di surau-surau.

Bagi kita yang berada di Malaysia sekarang ini, cukuplah kalau kita dapat berdoa di masjid-masjid dan di surau-surau. Justeru, rajinkanlah langkahan kaki ke masjid atau surau, luangkanlah sedikit masa ke rumah-rumah Allah SWT. =)

Masa:

1.  Ketika menuju ke medan perang.
2.  Dalam pertempuran di medan perang.
3.  Ketika hujan.
4.  Sesudah berwudhu’.
5.  Selepas azan (antara azan dan iqamah).
6.  Sewaktu sujud.
7.  Di akhir surah Al-Fatihah.
8.  Sesudah membaca Al-Qur’an dan sesudah selesai menunaikan solat fardhu lima waktu.
9.  Di tengah malam.
10. Di sepertiga malam yang pertama dan terakhir bulan Ramadhan.
11. Pada bulan Ramadhan.
12. Malam Lailatulqadar.
13. Pada hari Jumaat.

Setuju tak kalau saya cakap masa yang paling afdhal ialah di sepertiga malam yang terakhir? Sebabnya, fikir-fikirkanlah ye… =)

Inilah waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa, tetapi anda semua boleh sahaja meminta doa pada setiap waktu dan ketika. Jadi, sentiasalah berdoa~

ORANG YANG MAKBUL DOANYA

Mesti anda semua ingin mengetahui siapakah orang yang mudah dimakbulkan doanya kan? Antara golongan yang doanya mudah dimakbulkan adalah:

1.  Doa seorang pemimpin yang adil.
2.  Doa orang yang sedang berpuasa.
3.  Doa orang yang dizalimi.
4.  Doa seorang muslim untuk saudaranya.
5.  Doa seorang anak untuk kedua-dua orang ibu bapanya.
6.  Doa orang tua kepada anaknya.

KESIMPULAN

Semoga semua yang saya kongsikan ini bermanfaat buat anda semua. Sama-samalah kita berdoa untuk ibu bapa kita, adik-beradik kita, kawan-kawan kita, penyarah-pensyarah kita, guru-guru kita dan semua muslimin dan muslimat. InsyaAllah doa kita akan diangkat olehNya.

Akhir kata, semoga di hari ini dan di hari-hari mendatang, kita akan sentiasa diberkati dan dirahmatiNya. =) Aamiin ya robbal ‘aalamiin.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al-Mu’min: 60)

 

RUJUKAN

Harun Arrasyid Haji Tuskan; Termakbulkah Doa Anda? Panduan Mecari Rahsia Doa-Doa Mustajab; Pustaka Ilmi Sdn. Bhd.

Ku Telefon Tuhan Dalam Tahajjud

Semalam, ku telefon Tuhan dalam tahajjudku.

“Tuut, tuut… tuut, tuuut!” Terus diangkat. Dan sebaik sahaja kudengar talian di sebelah sana diangkat, saat itu terus ku luahkan isi hatiku bagai mencurah-curah ke ladang gandum!

“Wahai Yang Maha Agung, aku ini hambaMu. Aku menghubungimu semata-mata ingin mengadu padaMu ya Allah. Wahai Yang Maha Mendengar, aku ingin mengadu kepadaMu bahawa hatiku telah berlubang!”

“Wahai hambaKu. Jika Aku menimpakan suatu musibah ke atas kamu pada badanmu, lalu kamu menerima musibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu untuk menegakkan bagimu neraca timbangan atau membuka buku catatan amalmu.” [1]

“Akan tetapi Allah, lubang di hatiku ini sangat menyakitkan. Dan ini juga bukan kemahuanku.”

“Wahai hambaKu, barangkali kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [2]

“Yang penting lubang di hati ini sangat dalam. Dan aku mohon pertolonganMu, mengapa tidak Engkau tutupkannya saja.”

“Jika sekiranya Aku mahu, nescaya akan Kuberikan kepadamu wahai kekasihKu. Akan tetapi telah tetaplah kata-kataKu: Wahai dunia! Pahitkanlah kehidupan para kekasihKu, janganlah sekali-sekali engkau memaniskannya, kelak engkau akan memfitnahinya.” [3]

“Oh begitu rupanya… Sungguh Maha Penyayang Engkau wahai Tuhanku, melindungi aku daripada fitnah dunia. Maka, sekarang aku memohon agar Engkau memberikan aku kekuatan ya Allah.”

“Sesungguhnya Aku sekali-kali tidak membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [4]

“Terima kasih Tuhan, bolehkah Engkau selalu mengingatkan aku di saat aku lupa wahai Tuhanku…?”

“Tentu. Sesungguhnya Akulah yang menciptakanmu dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatimu, dan Aku lebih dekat kepadamu daripada urat lehermu sendiri.” [5]

“Tuhanku, aku sangat-sangat berharap Engkau sentiasa ada bersama denganku.”

“Wahai hambaKu, ketahuilah bahawa Aku sentiasa berada dalam sangkaanmu, dan Aku ada bersamamu ketika kamu menyebutKu. Bila kamu menyebut-Ku dalam dirimu, Aku menyebutmu dalam Diri-Ku. Bila kamu menyebut-Ku dalam khalayak ramai, Aku menyebutmu dalam khalayak yang lebih baik daripada itu. Bila kamu mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadamu satu hasta. Bila kamu mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadamu satu depa. Bila kamu datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku datang kepadamu berlari-lari.” [6]

“Aku ingin menjadi hambaMu yang sebenar-benarnya wahai Tuhanku…”

“Tanda pengenalan hamba-hamba-Ku di hatinya terhadap-Ku ialah dengan menyangka baik terhadap qadar-Ku, tiadalah dikeluh-kesahkannya hukum-hukum-Ku, tiadalah dirasakannya lambat kurnia-Ku dan senantiasa malu berbuat maksiat.” [7]

“Wahai Allah! Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah. Dan aku berjanji akan selalu mengingatiMu lebih daripada segala yang lain.”

“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingati Aku.” [8]

SubhanAllah. Alhamdulillah. Allahuakbar. La ilaaha illAllah. La hawla wala quwwata illa billah.

Lalu ku putuskan talian itu kerana ku tahu sebentar lagi akan ku hubungiNya lagi.

Terima kasih Allah.

Yang tak pernah jemu melayan kerenah ku.

Yang lebih dekat kepadaku berbanding urat leherku.

Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.

Terima kasih ya Allah!

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)

SISIPAN AYAT-AYAT AL-QUR’AN DAN HADIS QUDSI

1.  Berkata Anas r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Allah telah berfirman: Jika Aku menimpakan suatu musibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Riwayat Qudha’I, Dailami, Hakim dan Tirmidzi)

2.  “…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

3.  Berkata Ibnu Mas’ud ra. bahwasanya Nabi Saw. telah bersabda: ”Allah telah berfirman: Wahai dunia! Pahitkanlah kehidupan para kekasih-Ku, janganlah sekali-sekali engkau memaniskannya, kelak engkau akan memfitnahinya.” (Riwayat Qudha’i)

4.  “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Al-Baqarah: 286)

5.  “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Qaff: 16)

6.  Dari Abu Hurayrah r.a., katanya: Bersabda Rasulullah Saw.: “Berfirman Allah Yang Maha Agung: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)

7.  Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Allah telah berfirman: Tanda pengenalan hamba-hamba-Ku di hatinya terhadap-Ku ialah dengan menyangka baik terhadap qadar-Ku, tiadalah dikeluh-kesahkannya hukum-hukum-Ku, tiadalah dirasakannya lambat kurnia-Ku dan senantiasa malu berbuat maksiat.” (Riwayat Dailami)

8.  “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku.” (Thaahaa: 14)

Muslimah Memang Tidak Guna…

MUSLIMAH MEMANG TIDAK GUNA…

Saya percaya bahawa apabila anda mula-mula membaca tajuknya, dan membacanya mengikut intonasi yang betul, anda pasti tersangat tidak bersetuju. Sebelum anda menyatakan rasa tidak berpuas hati itu, eloklah anda bertenang dahulu dan baca dengan teliti semua fakta yang dikemukakan. Jika ada mana-mana fakta yang tidak tepat, nyatakan komen anda secara terbuka.

Perempuan yang bergelar muslimah itu memang tidak guna… kain yang nipis untuk membuat bajunya, sehingga terbayang kulitnya. Kerana dia tahu, bahawa pakaian seperti itu adalah pakaian yg layak dipakai oleh perempuan jalang.

Perempuan yang mengakui dirinya beragama Islam memang tidak guna… rantai kaki yang berloceng untuk dililitkan pada kakinya. Rantai ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih lagi lelaki yang jahat. Dia tahu sekiranya dia memakainya juga dia telah melanggar larangan Allah SWT dalam ayat 31 surah An- Nur.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” – Surah An-Nur: 31.

Perempuan yang mengakui dirinya “Ana muslimah,” memang tidak guna… minyak wangi yang baunya semerbak. Wangian sebegini mempunyai kuasa penyerakan bau yang amat tinggi kerana kadar kemeruwapannya tinggi. Biasanya kekuatan bau ini menunjukkan kadar kekompleksan rantai alkohol (secara kimia) yang digunakan untuk membuat pewangi itu. Perempuan yang tidak memakai wangian yang kuat ini tahu bahawa inilah yang dipesan oleh Nabi SAW. Sabda junjungan bahawa wanita yang keluar rumah dgn memakai wangian, adalah seperti pelacur. Bukan tidak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah dlm pemakaian wangian tersebut.

“Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” – Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

Perempuan yang kuat pegangan Islamnya memang tidak guna… kata- kata yang keji, kerana dia tahu sesiapa sahaja yang bercakap perkara yang keji adalah mereka yang rendah akhlaknya. Lelaki atau perempuan yang bercakap menggunakan perkataan yang buruk atau jahat, adalah seperti sepohon pokok yang rosak akar tunjangnya. Dia tahu bahawa perumpamaan perkataan yang baik dan buruk dinyatakan dengan jelas dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.

“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah memberi perumpamaan kalimat yang baik dengan sebatang pohon yang baik, pokoknya tetap (di bumi), sedang cabangnya (menjulang) ke langit.Menghasilkan buahnya setiap waktu dengan izin Tuhannya. Allah memberikan beberapa contoh kepada manusia, mudah-mudahan mereka mendapat peringatan. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti sebatang pohon yang buruk akarnya terbongkar dari atas bumi, tiada baginya tempat tetap (di muka bumi).” – Surah Ibrahim: 24-26.

Perempuan muslimah memang tidak guna… masa berborak untuk mengatakan hal-hal orang yang di sekitarnya atau dengan kata lain mengumpat, memperkatakan keburukan saudaranya. Dia tahu bahawa sekiranya orang yang suka mengumpat baik lelaki atau perempuan dia seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri. Apakah sanggup kita memakan daging saudara sendiri? Persoalan ini ditanyakan kepada kita dalam firmanNya melalui ayat 12 surah Al-Hujurat.

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), kerana sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” – Al-Hujuraat: 12.

Perempuan yang berpakaian berdasarkan syariat Islam memang tidak guna… tudung tiga segi, apabila memakainya diselempangkannya sehingga nyata bentuk perbukitan pada badannya (tudung siput babi). Sememangnya ia menjadi tatapan mata lelaki yang jahat yang terkena panahan syaitan. Dia tahu apabila bertudung, dia mesti melabuhkan tudungnya sehingga menutup alur lehernya dan tidak menampakkan bentuk di bahagian dadanya. Pesan Rasul seperti yang disuruh oleh Allah SWT, tersebut dalam ayat 59 Al-Ahzab. Begitu juga seorang lelaki yang bergelar suami mesti memberi peringatan untuk isteri dan anak- anaknya.

“Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – Al-Ahzab: 59.

“Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Perempuan yang memahami etika dalam Islam memang tidak guna… lenggok bahasa yang boleh menggoda seorang lelaki. Jika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya, bercakaplah dengan tegas. Jangan biarkan suara lentukku untuk menarik perhatian lelaki yang sakit dalam hatinya. Sememangnya suara perempuan bukanlah aurat, jika aurat, maka Allah SWT tidak akan menjadikan perempuan boleh berkata-kata. Bertegaslah dalam percakapan, jangan gunakan suaramu untuk menarik perhatian lelaki sehingga menjadi fitnah buatmu. Bahaya suara wanita yang bercakap dengan gaya membujuk yang boleh mencairkan keegoan lelaki (yg bukan mahramnya) dicatat dalam ayat 32 surah Al-Ahzab.

“Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).

‘Terlalu lunak’ di sini ditafsirkan sebagai berbicara dengan sikap yang boleh menimbulkan keberanian orang lelaki untuk bertindak jahat kepada mereka. ‘Serong dalam hati’ adalah keinginan seorang lelaki untuk melakukan perbuatan sumbang dengannya seperti berzina. Mengapa? Lelaki sangat mudah tertarik kepada seorang wanita melalui suaranya.

Perempuan yang menjaga maruah Islam memang tidak guna… alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan kepada wanita muslimah kerana semestinya kecantikannya adalah hak ekslusif yang mesti persembahkan kepada suaminya. Jika ingin keluar bekerja, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang2 wajah anda menjadi seperti hantu. Hendak bergincu? Jika bergincu, pakailah yg tidak menyerlah warnanya. atau Mengapa tidak pakai lipstik non-glossy atau lipbalm sahaja?

Perempuan Islam memang tidak guna… kain tudung yang jarang-jarang seperti jarangnya jala yang digunakan untuk memukat haiwan akuatik. Kerana apabila memakai tudung seperti ini, akan nampak juga bahagian yang sepatutnya ditutup rapi dari pandangan orang lain. Rambut adalah mahkota, tetapi jangan biarkan mahkota itu tidak ‘berharga’ dengan menayangkannya tanpa sebarang perlindungan. Jika mahkota berharga disimpan dengan rapi di dalam sangkar, dan ditambah pula pengwal untuk menjaga keselamatannya, maka demikian juga dengan rambut wanita. Sangkar itu adalah kain litup yang sempurna dan pengawalnya pula adalah ilmu yang diamalkan oleh anda untk memakainya dengan cara yang terbaik.

Sememangnya, perempuan yang bernama muslimah memanglah BERGUNA ^__^

Jangan marah kaum muslimah… saje je buat suspen… =)

Bagaikan Raja Dunia

HATI YANG QANAAH

Imam Asy-Syafi’ie pernah suatu ketika berkata: “Jika engkau memiliki hati yang selalu qanaah… maka sesungguhnya engkau sama seperti raja dunia.”

Qanaah itu menerima sesuatu dengan cukup. Dikatakan bahawa Allah SWT telah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Sabda Rasulullah SAW: “Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” – Hadis Riwayat Baihaqi.

Dalam qanaah, terkandung 5 perkara:

1.   Menerima dengan redha apa yang ada.

2.   Memohon kepada Allah SWT dikurniakan rezeki dan berusaha.

3.   Menerima dengan sabar akan ketentuan Allah SWT.

4.   Bertawakkal kepada Allah SWT.

5.   Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.

KEKAYAAN YANG SEBENAR

Itulah qanaah, dan itulah kekayaan yang sebenar.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ertinya: Diri yang merasa cukup dan kenyang dengan apa yang ada. Tidak merasa haloba dan cemburu, dan bukan yang meminta-minta dan bukan yang sentiasa mahukan tambahan. Kerana kalau masih meminta tambah, tandanya masih miskin.

Orang yang qanaah benar-benar telah mengumpulkan amalan-amalan hati yang sangat tinggi nilainya. Ia sentiasa berhusnudzon kepada Allah SWT, bahawasanya apa yang telah Allah SWT tetapkan baginya itulah yang terbaik baginya. Ia bertawakkal kepada Allah dengan menyerahkan segala urusannya kepada Allah SWT. Sedikitnya harta di tangannya tetap menjadikannya bertawakkal kepada Allah SWT, kerana ia lebih percaya akan janji Allah daripada kemolekan dunia yang terbentang di hadapan matanya.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan simpanan yang tidak akan lenyap.” – Hadis riwayat Thabrani dari Jabir.

Ertinya: Orang yang memiliki sifat qanaah mengetahui batasan hartanya sekadar apa yang ada dalam tangannya dan tidak menjalar di fikirannya akan harta orang lain.

Orang yang qanaah tidak terpedaya dengan harta dunia yang berkilauan, dan ia tidak hasad kepada orang-orang yang telah diberikan oleh Allah SWT harta yang berlimpah. Ia qanaah, ia menerima semua keputusan dan ketetapan daripada Allah SWT. Bagaimana orang yang sifatnya seperti ini tidak akan bahagia?

KISAH KEDERMAWANAN DARI SIFAT NABAWI

Dalam sejarah ketamadunan Islam, tercatat beberapa kisah mereka yang murah hati antaranya, diceritakan bahawa Abdullah bin `Amir telah membeli sebuah rumah kedai daripada Khalid bin `Uqbah dengan harga 90,000 dirham.

Tiba-tiba pada malam itu, dia mendengar anak isteri Khalid menangis.

Lalu Abdullah bertanya kepada isterinya: “Apa hal mereka itu?” Kemudian isterinya memberitahu bahawa mereka menangis kerana rumah mereka yang dijual.

Lantas Abdullah berkata kepada pembantunya: “Pergi dan suruh mereka datang ke sini.” Selepas mereka datang lalu Abdullah terus menyatakan kepada mereka bahawa ambillah rumah itu kembali dan duit itu juga untuk mereka tanpa perlu dipulangkan.

Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Sebaliknya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya.

Alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak melihat urusan dunia dengan kacamata keinginan hawa nafsu semata-mata sebaliknya sentiasa berhemah dan tidak tamak haloba. Jadikanlah sifat nabawi yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini.

SALAH FAHAM TENTANG QANAAH

Timbul pula persoalan adakah qanaah ini membawa diri kita kepada malas berusaha, tidak berdaya saing, kurang produktiviti atau cukupkah berusaha sekadar melepas batuk di tangga?

Sekiranya kita memahami dan menghayati sifat qanaah secara menyeluruh, kita pasti menjadi seorang Muslim yang hebat pemikirannya, berdaya saing dan memberi sumbangan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Hal ini demikian kerana secara zahirnya, sifat qanaah ini tidak menghindarkan kita dari terus berjaya dalam aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu tidak dapat apa yang dikehendaki, maka tidak pula muncul perasaan iri hati, dengki atau benci kepada orang lain yang diberikan rezeki dan nikmat daripada Allah SWT kepada mereka, sebaliknya menjadikan dia sebagai hamba yang lebih bersyukur, lebih menghargai segala yang diberikan. Fokus dan matlamatnya masih utuh dan yakin bahawa Allah SWT telah menetapkan rezeki yang tertentu untuk hamba-hambaNya selagimana hamba-hambaNya berusaha mencari.

Allah SWT berfirman: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan, dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” – An-Nahl: 97.

KESIMPULAN

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Abu Dzar, apakah engkau memandang banyaknya harta merupakan kekayaan?” Abu Dzar berkata: “Ya Rasulullah.” Rasulullah SAW bersabda: “Apakah engkau memandang bahawa sedikitnya harta merupakan kemiskinan?” Abu Dzar berkata: “Benar Rasulullah.” Rasulullah SAW pun bersabda: “Sesungguhnya kekayaan (yang hakiki) adalah kayanya hati, dan kemisikinan (yang hakiki) adalah miskinnya hati.” – Hadis riwayat Ibnu Hibbaan dan dishahihkan oleh Syaikh Albani dalam shahih At-Targiib wa At-Tarhiib no 827.

Maka orang-orang yang qanaah, meskipun miskin, namun pada hakikatnya sesungguhnya dia bagaikan raja dunia!

 

1.   Menerima dengan redha apa yang ada.

2.   Memohon kepada Allah SWT dikurniakan rezeki dan berusaha.

3.   Menerima dengan sabar akan ketentuan Allah SWT.

4.   Bertawakkal kepada Allah SWT.

5.   Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.

Tips-Tips Khusyu’ Dalam Solat

KHUSYU’

Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benarnya bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah SAW:

“Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat sembahyang yang khusyu‘.

SEBELUM MENDIRIKAN SEMBAHYANG

i.  Menjaga makanan dan minuman.

Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram. Sabda Rasulullah SAW:

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

ii.  Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat.

Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’. Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah SAW. Baginda SAW dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda SAW terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie).

iii.  Membersihkan diri, termasuk bersugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

iv.  Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v.  Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang. Sabda Rasulullah SAW:

Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim).

vi.  Memakai pakaian yang bersih dan kemas.

Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii.  Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.a.:

“Bahawa Rasulullah SAW menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

viii.  Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda SAW:

“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadis riwayat Muslim).

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.

KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i.  Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya.

ii.  Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:

“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii.  Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.

Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham r.a. bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau menjawab:

“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”

iv.  Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.

Umpamanya seperti berikut surah an-Nas, ta’awudz, tahlil atau zikir. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….” (Hadis riwayat Muslim).

KETIKA MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i.  Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain daripada ayat-ayat al-Qur’an (tasbih, takbir dan doa).

Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii.  Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud.

Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan. Rasulullah SAW bersabda:

Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud….. (Hadis riwayat Muslim).

iii.  Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv.  Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v.  Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi.  Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.

Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan). Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “SubhanAllah”. Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

vii.  Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta.

Sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

PENUTUP

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Cinta dan Rindu Dalam Islam

TENTANG HATI

Banyak orang bercakap tentang permasalahan cinta tapi tidak sesuai dengan yang sebenarnya. Atau tidak menjelaskan batasan-batasan dan maknanya secara syar’i. Dan seakan-akan yang membahas masalah ini mempunyai pemahaman yang salah bahawa ianya berkaitan dengan akhlaq yang rendah dan perzinaan, satu perkataan yang keji. Dan dikaitkan pula dengan zina hati. Hal ini adalah salah.

Cinta dan rindu adalah sesuatu yang berkaitan dengan manusia yang memotivasi mereka untuk menjaga dan mendorong kehormatan dan kemuliaannya. Aku memandang pembicaraan ini yang terpenting adalah batasannya, penyimpangannya, kebaikannya dan keburukannya. Cinta dan rindu adalah dua kalimat yang ada dalam hati setiap manusia, dan mereka memberi makna tentang kedua-dua hal ini sesuai dengan apa yang mereka rasai.

CINTA (AL-HUBB)

Cinta, iaitu Al-Widaad yakni kecenderungan hati pada yang dicintai. Itu termasuklah amalan hati, bukan amalan anggota badan atau zahir. Pernikahan contohnya, tidak akan bahagia dan berfaedah kecuali jika adanya cinta dan kasih sayang yang lahir dalam hati-hati pasangan suami isteri. Dan kunci kepada tumbuhnya kecintaan adalah melalui pandangan. Oleh disebabkan itulah, Rasulullah SAW menganjurkan pada orang yang meminang untuk melihat pada yang dipinang agar sampai pada kata sepakat dan cinta.

Sungguh telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Nasa’i dari Mughirah bin Su’bah r.a berkata: “Aku telah meminang seorang wanita.” Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Apakah kamu telah melihatnya?” Aku berkata: “Belum.” Maka beliau bersabda: “Maka lihatlah dia, kerana sesungguhnya hal itu pada akhirnya akan lebih menambah kecocokan dan kasih sayang antara kalian berdua.”

Kebanyakan orang, lebih-lebih pemuda dan pemudi, mereka takut untuk menghadapi cinta kerana tanggapan bahawa cinta yang tumbuh di dalam hati itu adalah dosa dan mereka mengira diri mereka sedang bermaksiat, berzina hati, bahkan salah seorang di antara mereka memandang, bila hatinya condong pada seseorang bererti dia telah berbuat dosa.

Kenyataannya, bahwa di sini banyak sekali kerancuan-kerancuan dalam pemahaman mereka tentang cinta dan apa-apa yang tumbuh dari cinta itu, di mana mereka beranggapan bahawa cinta itu suatu maksiat, kerana sesungguhnya dia memahami cinta itu dari apa-apa yang dilihatnya dari lelaki-lelaki rosak dan perempuan-perempuan rosak di kalangan mereka, yang mana mereka-meraka itu menegakkan hubungan yang tidak disyariatkan oleh Allah SWT. Mereka saling duduk, bermalam, bergurau mesra, saling menari, dan minum-minum, bahkan sampai mereka berzina di bawah semboyan cinta. Banyak orang mengira bahawa cinta tidak ada lain kecuali yang demikian itu. Padahal sebenarnya tidak begitu, justeru sebaliknya.

Sesungguhnya kecenderungan seorang lelaki pada wanita dan kecenderungan wanita pada lelaki itu merupakan syahwat daripada syahwat-syahwat yang telah Allah SWT hiaskan pada manusia dalam masalah cinta. Ertinya Allah SWT menjadikan di dalam syahwat apa-apa yang menyebabkan hati lelaki itu cenderung pada wanita, sebagaimana firman Allah SWT:

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak…” – Aali-’Imran: 14.

Allah SWT-lah yang menghiasi bagi manusia cinta pada syahwat ini, maka manusia mencintainya dengan cinta yang besar, dan sungguh telah tersebut dalam hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

Diberi rasa cinta padaku dari dunia kalian: wanita dan wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku dalam solat.” – HR Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi.

Andaikan tidak ada rasa cinta lelaki pada wanita atau sebaliknya, maka tidak adalah pernikahan, tidak adalah keturunan dan tidak adalah keluarga.

Namun begitu, Allah SWT tidaklah menjadikan lelaki cinta pada wanita atau sebaliknya supaya menumbuhkan di antara keduanya hubungan yang diharamkan, tetapi untuk menegakkan hukum-hukum yang disyari’atkan iaitu pernikahan seperti dalam hadis Ibnu Majah, dari Abdullah bin Abbas r.a berkata: telah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak terlihat dua orang yang saling mencintai, seperti pernikahan.”

Dan agar orang-orang Islam menjauhi jalan-jalan yang rosak atau keji, maka Allah SWT telah menyuruh yang pertama sekali agar menundukkan pandangan, kerana ‘pandangan’ itu kunci kepada hati, dan Allah SWT telah haramkan semua sebab-sebab yang membawa pada fitnah, dan kekejian, seperti berduaan dengan orang yang bukan mahramnya, bersalaman, berciuman antara lelaki dan wanita, kerana perkara-perkara ini dapat menyebabkan condongnya hati. Maka bila hati telah condong, dia akan sulit sekali menahan jiwa setelah itu, kecuali yang dirahmati Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menyeksa manusia dalam kecenderungan hatinya. Akan tetapi manusia akan diseksa dengan sebab jika kecenderungan itu diikuti dengan amalan-amalan yang diharamkan. Contohnya: apabila lelaki dan wanita saling memandang tanpa batasan atau berduaan-duaan, lalu cenderunglah hati kedua-duanya, sesungguhnya kecenderungan hati ini tidak akan menyebabkan kedua-duanya diseksanya, kerana hal itu berkaitan dengan hati, sedang manusia tidak bisa menguasai hatinya, akan tetapi, kedua-duanya diazab kerana apa yang mereka lakukan, iaitu memandang tanpa batasan dan berdua-duaan. Dan kedua-duanya akan dimintai pertanggungjawaban, dan akan diseksa juga dari setiap perkara haram yang mereka perbuat setelah itu seperti berciuman, bermesraan dan berzina.

Adapun cinta yang tulus ikhlas dan murni, yang dijaga kehormatannya, maka tidak ada dosa padanya, bahkan telah disebutkan oleh sebahagian ulama seperti Imam Suyuthi, bahawa orang yang mencintai seseorang, lalu menjaga kehormatan dirinya dan dia menyembunyikan cintanya maka dia diberi pahala, sebagaimana akan dijelaskan dalam bab ‘Rindu’ di bawah.

Menjaga kehormatan diri itu sungguh sangat sukar. Yang paling selamat adalah menjauhi semua sebab yang menjerumuskan hati dalam persekutuan cinta.

Daripada kedua-dua golongan ini (yang mencintai serta menjaga kehormatan dan yang mengelak daripada cinta), sungguh sangat sedikit mereka yang selamat.

RINDU (AL-’ISYQ)

Rindu itu ialah cinta yang berlebihan. Ada rindu yang disertai dengan menjaga diri dan ada juga yang diikuti dengan kehinaan. Maka rindu tersebut bukanlah hal yang tercela dan keji secara mutlak. Boleh jadi, orang yang rindu itu, rindunya disertai dengan menjaga diri dan kesucian, dan kadang-kadang ada rindu yang disertai kerendahan dan kehinaan.

Sebagaimana telah disebutkan tentang cinta, maka rindu juga seperti itu, termasuk amalan hati, yang manusia tidak mampu menguasainya. Tapi manusia akan dihisab atas sebab-sebab yang diharamkan dan atas hasil-hasilnya yang haram.

Adapun rindu yang disertai dengan menjaga diri padanya dan menyembunyikannya daripada orang-orang, maka padanya pahala, bahkan Ath-Thohawi menukil dalam kitab Haasyi’ah Marakil Falah dari Imam Suyuthi yang mengatakan bahwa termasuk dari golongan syuhada di akhirat ialah orang-orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan daripada orang ramai meskipun kerinduan itu timbul daripada perkara yang haram.

Makna ucapan Suyuthi adalah orang-orang yang memendam kerinduan baik lelaki mahupun perempuan, dengan tetap menjaga kehormatan dan menyembunyikan kerinduannya sebab dia tidak mampu untuk mendapatkan apa yang dirindukannya dan bersabar atasnya sampai mati kerana kerinduan tersebut, maka dia mendapatkan pahala syahid di akhirat. Hal ini tidak aneh jika fahami kesabaran orang ini dalam kerinduan bukan dalam kefajiran yang mengikuti syahwat dan dia bukan orang yang rendah yang melecehkan kehormatan manusia bahkan dia adalah seorang yang sabar, menjaga diri meskipun dalam hatinya ada kekuatan dan ada keterkaitan dengan yang dirindui, dia tahan kekerasan jiwanya, dia ikat anggota badannya sebab ini di bawah kekuasaannya. Adapun tentang hatinya dia tidak bisa menguasai, maka dia bersabar atasnya dengan sikap afaf (menjaga diri) dan menyembunyikan kerinduannya sehingga dengan itu dia mendapat pahala.

Wallahu a’lam.

 

RUJUKAN

http://raisahakim.com/arti-cinta-rindu-dan-cemburu-dalam-islam/